Zuhainy Zulkiffli

Bukit Mertajam: Hujan lebat luar biasa yang berlaku sejak petang semalam menyebabkan banjir di beberapa kawasan di Seberang Prai sekali gus menjejaskan kira-kira 200 rumah penduduk.

Sehingga pagi tadi, sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) banjir dibuka yang mana 150 orang daripada 50 keluarga dipindahkan.

PPS itu ialah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) True Light di Perkampungan Juru; Dewan Orang Ramai Bukit Teh di Bukit Mertajam; Dewan Banjir Desa Puri di Tasek Gelugor dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi di Tasek Gelugor.

Terkini, pusat pemindahan sementara banjir di Dewan Orang Ramai, Bukit Teh menempatkan 22 orang daripada tujuh keluarga sudah ditutup.

Antara kawasan yang terjejas di daerah Seberang Prai Tengah (SPT) ialah Taman Tenang Berapit, Taman Seri Janggus Machang Bubok, Desa Damai, Kampung Baru Alma, Taman Impian, Taman Sukun, Taman Mangga, Taman Sentul dan Kampung Dock.

KELIHATAN penduduk meredah banjir selepas hujan lebat semalam ketika membuat tinjauan di Taman Sentul, Bukit Mertajam, Juru, Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
KELIHATAN penduduk meredah banjir selepas hujan lebat semalam ketika membuat tinjauan di Taman Sentul, Bukit Mertajam, Juru, Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG

Turut terjejas ialah Taman Macang Bubok, Taman Pinggiran Alma, Taman Sejahtera, Taman Selamat, Taman Kota Permai, Taman Permai Jaya, Taman Pekaka, Taman Pinang, Jalan Tembikai, Taman Mutiara, Taman Jasa Intan, Taman Saujana Indah dan Taman Jaya.

Manakala di daerah Seberang Prai Selatan (SPS), kawasan yang terjejas ialah di Ladang Valdor dan Jawi selain Kampung Desa Puri dan Lahar Yooi di daerah Seberang Prai Utara (SPU).

Tinjauan di Taman Sentul di daerah SPT kira-kira jam 11 pagi menunjukkan air banjir masih paras lutut.

Taman berkenaan dan Taman Mangga antara yang paling teruk terjejas, dengan seramai 126 mangsa daripada 35 keluarga di kedua-dua kawasan, mendapat perlindungan sementara di SJKC True Light di Perkampungan Juru.

Penduduk yang juga pengusaha kilang Krishnaveni Muniandy, 38, berkata hujan lebat sejak jam 5 petang berlarutan menyebabkan banjir sekitar 8 malam hingga menenggelamkan rumahnya di Taman Mangga.

Katanya, dia baru pulang dari kerja berada di rumah bersama anak lelaki berusia 18 tahun hanya berjaya mengalihkan beberapa barangan ke tempat tinggi manakala barangan yang lebih besar seperti almari dan lain-lain sudah musnah.

"Sepanjang tinggal di sini sejak 19 tahun lalu, penempatan ini sering mengalami banjir kilat dan ini kali kedua berlaku pada tahun ini yang mana keadaannya paling teruk.

"Sepanjang tempoh itu, paling teruk ialah pada tahun 2017 yang mana keseluruhan harta benda kami musnah dan hanya tinggal siling dan bumbung sahaja," katanya di sini, hari ini.

Manakala Mohd Rahizi Ramli, 43, isteri Siti Suhana Saad, 42, bersama tiga anak, Elysha Erin Sherina, 18, Puteri Alfiana, 12, dan Fayyadh Assidiq, dua tahun juga antara mangsa yang tempatkan di PPS itu.

Keluarga berkenaan sudah menetap di Taman Mangga hampir lima tahun lalu dan mengalami kejadian banjir paling buruk pada 2020 apabila air mencecah paras pinggang.

Menurut Puteri Alfiana, hujan mulai lebat sekitar jam 5 petang dan dalam tempoh 30 minit, rumah mereka sudah dinaiki air.

"Ketika itu mengambil adik di rumah pengasuh yang terletak berhampiran, namun apabila tiba di rumah, air sudah memenuhi kediaman.

"Mujurlah kakak sudah pulang dari kerja dan saya terus telefon ibu dan ayah bagi memaklumkan rumah kami dimasuki air," katanya.

Turut melawat pusat penempatan itu ialah Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Batu Kawan, Tan Lee Huat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 3:51 PM