Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat beri amaran polis serius gempur judi. - Foto Fail
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat beri amaran polis serius gempur judi. - Foto Fail
BERNAMA

Shah Alam: Polis memberi amaran keras kepada semua pemilik pusat perjudian dalam talian yang masih aktif di negeri ini supaya menghentikan operasi mereka atau bakal berdepan dengan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata pihaknya sangat serius menggempur kegiatan haram itu kerana ia dilihat kembali aktif beroperasi di seluruh negeri berkenaan.

Berikutan itu, beliau berkata sejak Rabu lalu, semua ibu pejabat polis di sembilan daerah di Selangor diarah mempergiatkan operasi membanteras perjudian haram tersebut.

Katanya hasil risikan menunjukkan daerah Petaling Jaya, Serdang, Subang Jaya, Kajang, Gombak dan Klang Selatan antara kawasan dikesan mempunyai jumlah premis perjudian dalam talian yang tinggi.

"Sejak Rabu lalu, dalam tempoh hanya 48 jam, 222 serbuan dilakukan dengan 233 tangkapan membabitkan pemilik premis dan 83 kaki judi.

“Sebanyak 3,120 set komputer, 207 komputer riba, enam mesin simulator judi dan wang tunai RM19,205 turut dirampas dalam operasi itu," katanya di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2016 @ 7:02 PM