GAMBAR  hiasan
GAMBAR hiasan
Siraj Mohd Zaini


MESKIPUN pelbagai taktik dan pertukaran modus operandi, sindiket judi dalam talian akan terus diperangi polis daerah Shah Alam bagi memastikan kegiatan itu terus berkubur.

Ini dibuktikan dengan enam operasi dijalankan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang berjaya menahan 27 penjaga premis serta 47 orang kaki judi di sekitar Shah Alam sejak Disember tahun lalu sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, menerusi operasi itu pihaknya merampas 27 tablet, komputer riba serta 12 mesin simulator.

Selain itu, beliau berkata, wang tunai berjumlah RM9,931 yang dipercayai hasil pertaruhan kaki judi, turut dirampas polis.

"Kegiatan ini akan dihapuskan secara total namun sindiket bertindak dengan kerap berpindah lokasi bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Polis akan terus memantau supaya kegiatan ini tidak kembali aktif dengan menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada termasuklah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Baharudin berkata, kelicikan sebuah pusat snuker yang menjalankan kegiatan judi dalam talian di Setia Alam turut diserbu sepasukan polis, semalam.

"Seorang lelaki tempatan berusia 20an yang berperanan sebagai penjaga premis serta dua lelaki warga Indonesia yang berusia antara 30 dan 40 tahun, yang sedang leka berjudi ditahan dalam operasi itu.

"Turut dirampas dua tablet, satu komputer riba, satu modem, buku catatan jumlah pertaruhan dan wang tunai berjumlah RM65.

"Semua yang ditangkap direman selama empat hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 12:08 AM