LELAKI berjalan di hadapan projek pembangunan Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur. FOTO Reuters.
LELAKI berjalan di hadapan projek pembangunan Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur. FOTO Reuters.
Meor Riduwan Meor Ahmad dan Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengakui syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) mempunyai struktur modal yang lemah dan terdapat beberapa kelemahan tadbir urusnya.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin berkata, pihaknya juga mendapati struktur modal 1MDB terlalu bergantung kepada penggunaan hutang dan semua itu diperincikan dalam Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB.

Katanya, jawatankuasa bersandarkan maklumat laporan disediakan Jabatan Audit Negara (JAN) selaras keputusan Kabinet mengarahkan Laporan Audit 1MDB dibentang kepada PAC untuk menjalankan siasatan, menyiapkan serta merumuskan Laporan PAC berkaitan.

"Atas sebab itu PAC menyarankan supaya pihak perlu mengkaji dengan teliti laporan berkenaan dan membuat siasatan lanjut.

"Jika didapati wujud kesalahan, tindakan undang-undang perlu diambil," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, PAC memulakan prosiding Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pada 19 Mei 2015 dan mengakhiri prosiding pada 11 Februari lalu dengan memanggil semua pihak yang bertanggungjawab terhadap syarikat itu.

Katanya, pihak dipanggil termasuk Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Lembaga Pengarah 1MDB, pengurusan tertinggi 1MDB dan juruaudit 1MDB.

PAC dianggotai 14 Ahli Parlimen, sembilan daripada Barisan Nasional (BN) dan lima daripada parti pembangkang dalam menyiapkan laporan secara kolektif dengan mengemukakan rumusan serta cadangan kepada kerajaan berhubung kawalan pengurusan tadbir urus syarikat 1MDB yang dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 12:43 PM