AZMIN menjawab pertanyaan wakil media selepas menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, semalam. FOTO Muhammad Sulaiman
AZMIN menjawab pertanyaan wakil media selepas menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, semalam. FOTO Muhammad Sulaiman
Siraj Mohd Zaini


MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan kekal menjawat jawatan itu buat sementara waktu sehingga tempoh peralihan kuasa dapat dijalankan dengan lancar dan teratur.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor Datuk Mohammad Munir Bani berkata, pada masa sama Mohamed Azmin perlu mengemukakan senarai calon Menteri Besar yang baharu untuk penelitian Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum lantikan dilaksanakan.

Beliau berkata, Mohamed Azmin akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar sebaik saja baginda berkenan melantik individu baharu ke jawatan berkenaan.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah disembah maklum oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa beliau bersetuju untuk menerima jawatan Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan di bawah portfolio Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat keputusan itu setelah mendapat penjelasan dan pengesahan daripada Perdana Menteri mengenai skop kerja dan bidang kuasa Kementerian yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Kenyataan itu turut menyebutkan baginda memperkenankan Mohamed Azmin untuk memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Semalam, Mohamed Azmin menghadap baginda di Istana Kayangan dalam pertemuan selama dua jam bagi membincangkan mengenai jawatannya di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Difahamkan, beliau akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Kabinet di Istana Negara pada 5.30 petang hari ini.

Pada 11 Mei lalu, Mohamed Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 9:54 AM