KENDERAAN yang Azmin dilihat memasuki istana pada jam 11.50 pagi untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. FOTO/MUHAMMAD SULAIMAN
KENDERAAN yang Azmin dilihat memasuki istana pada jam 11.50 pagi untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. FOTO/MUHAMMAD SULAIMAN
Iskandar Shah Mohamed


MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tiba di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, bagi menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ia difahamkan bagi membincangkan dengan Baginda jawatan Kabinetnya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Mohamed Azmin dilihat tiba dengan menaiki kenderaan rasmi pada 11.50 pagi.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bagi membincangkan jawatan Kabinetnya.

Dr Mahathir kelmarin mengumumkan nama 15 Menteri Kabinet termasuk menamakan Ahli Parlimen Gombak itu sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Istiadat angkat sumpah jawatan untuk Menteri Persekutuan dijadualkan berlangsung di Istana Negara, pagi esok.

Pada 11 Mei lalu, Mohamed Azmin, 54, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dua wakil rakyat Selangor disebut-sebut bakal menggantikan beliau iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amiruddin Shari dan ADUN Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 12:28 PM