Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


WANITA yang hamil enam bulan berdepan saat mencemaskan apabila anak lelakinya berusia lima tahun dilarikan seorang lelaki yang baru dikenali di sebuah kedai runcit di Taman Rasah Jaya, Fasa 1/15, Seremban, semalam.

Sumber polis berkata, wanita berusia 36 tahun itu hanya mengenali suspek dalam tempoh singkat sebelum dipelawa untuk dihantar pulang ke rumah ibunya di Felda Kepis, Bahau, Jempol, dekat sini.

Katanya, ibu tunggal beranak tiga itu menaiki transit aliran massa (MRT) dari rumahnya di Sungai Buloh, Selangor, jam 11 malam kelmarin sebelum tiba di stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Seremban, jam 1 pagi semalam.

Menurutnya, sebaik tiba di stesen itu, wanita terbabit didekati suspek yang menawarkan diri untuk menghantarnya pulang ke Felda berkenaan.

“Suspek berusia 31 tahun meminta wanita terbabit mengisi petrol kereta sebanyak RM30 lalu dipersetujui. Wanita itu bingung apabila suspek membawanya bersiar-siar di pekan Seremban sebelum memintanya menuju ke Bahau,” katanya.

Kata sumber itu, sebaik tiba di Bukit Putus, Jalan Seremban-Kuala Pilah, lelaki berkenaan memberi alasan tidak mahu menggunakan laluan itu kerana cukai jalan kereta tamat tempoh.

“Suspek sekali lagi memberi alasan mahu menukar kereta di rumahnya di Taman Permai, sebelum tiba jam 4.30 pagi. Dua beranak berkenaan bagaimanapun diminta tidur di premis itu terlebih dulu,” katanya.

Menurut sumber itu, pada jam 11.30 pagi semalam, wanita terbabit dibawa ke sebuah kedai runcit di Taman Rasah Jaya kononnya untuk menukar kereta.

“Pada ketika itu, wanita ini diminta memasuki kedai runcit bagi mengambil kunci kenderaan. Sejurus turun daripada kereta, suspek memecut laju kenderaan dan melarikan anaknya,” katanya.

Wanita terbabit yang dibantu orang awam menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban jam 12.15 tengah hari.

Kata sumber itu, siasatan mendapati wanita itu mempunyai tiga anak dengan dua di bawah jagaan bekas suami di Perak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, sepasukan anggota polis dapat menjejaki Perodua Kancil yang dinaiki suspek di Bukit Mantin, jam 2.20 petang.

Katanya, selain lelaki terbabit seorang wanita berusia 40 tahun yang berada dalam kenderaan itu turut ditahan untuk siasatan.

“Polis dapat menyelamatkan kanak-kanak ini dalam tempoh dua jam dan membawanya ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban untuk pemeriksaan kesihatan. Ujian air kencing ke atas suspek lelaki mendapati dia positif dadah,” katanya.

Menurutnya, suspek berasal dari Mentakab, Pahang dan pasangan direman empat hari bermula hari ini hingga Isnin ini mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 4:47 PM