DATUK Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali. FOTO Arkib NSTP
Tharanya Arumugam


MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan jawatan Kabinetnya, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dan Ahli Parlimen Gombak berkata, pertemuan itu akan diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

“Saya akan bertemu dengan PM pada 12.45 pm di Yayasan (Kepimpinan) Perdana,” katanya melalui SMS ketika ditanya mengenai perkara itu.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan nama 15 Menteri Kabinet termasuk menamakan Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin yang ditemui pemberita malam tadi, memaklumkan beliau tidak akan memegang dua jawatan itu serentak.

Beliau mahu bertemu Perdana Menteri untuk membincangkan bidang tugas serta mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelantikannya sebagai menteri di peringkat Persekutuan.

Menteri Besar juga dilaporkan berkata, beliau akan memohon menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini untuk memutuskan di mana peranan dan tanggungjawab yang perlu dilakukan sama ada kekal di Selangor atau bertukar ke Persekutuan. Difahamkan, pertemuan itu tidak dapat diadakan hari ini berikutan Sultan Sharafuddin Idris Shah dijadualkan berbuka puasa dengan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sabah, hari ini dan hanya akan pulang esok.

Justeru, Mohamed Azmin hanya boleh menghadap Sultan Selangor pada esok atau pagi Isnin.

Istiadat angkat sumpah jawatan untuk Menteri Persekutuan dijadualkan diadakan di Istana Negara pada 11.30 pagi Isnin ini.

Berita berkaitan

MB Selangor atau Menteri?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 11:47 AM