FOTO AFP.
FOTO AFP.
AFP

Cape Town: Pelancong Sepanyol maut selepas dipijak gajah di taman negara Afrika Selatan ketika cuba mengambil gambar kawanan haiwan termasuk tiga anak lembu.

Lelaki berusia 43 tahun itu terkorban pada pagi Ahad di Taman Negara Pilanesberg, kira-kira 210 kilometer (km) dari barat laut Johannesburg.

Menurut jurucakap taman negara, mangsa bersama tiga rakannya keluar daripada kenderaan dinaiki dan berjalan ke arah haiwan safari itu untuk mengambil gambar.

"Walaupun sudah diberi amaran oleh pelancong lain dan mereka yang berada di dalam dua kenderaan berhampiran, mangsa bagaimanapun tidak mengendahkannya.

"Seekor gajah dewasa kemudian menyerang dan mangsa cuba melarikan diri. Malangnya, dia gagal mengelak daripada haiwan itu yang akhirnya mengepung mangsa bersama gajah lain dan dipijak hingga mati," menurut kenyataan lembaga taman dan pelancongan wilayah barat laut.

Lembaga itu memaklumkan, selepas kejadian, kumpulan gajah itu beredar tanpa menunjukkan tanda untuk menyerang penumpang di dalam kenderaan.

Ketua pegawai pemuliharaan lembaga terbabit, Pieter Nel memberitahu AFP bahawa gajah dewasa dalam kawanan itu menyerang selepas gelisah kerana dihampiri mangsa.

Katanya, ia adalah perkara biasa bagi gajah untuk melindungi anaknya.

"Ramai pelancong tidak sedar risiko dan betapa bahayanya haiwan itu. Sifat haiwan liar yang tidak dapat diramal sentiasa perlu dijelaskan kepada pelancong," katanya.

Beliau berkata, pelancong juga perlu sentiasa dididik mengenai kepentingan berada di dalam kenderaan demi keselamatan, menghormati jarak antara kenderaan dan haiwan serta membenarkan haiwan lalu terlebih dahulu, selain hanya turun di kawasan khas yang dibenarkan.

Lembaga itu turut menzahirkan takziah terhadap keluarga dan rakan mangsa dan berkata "sangat sedih dengan insiden tragik terbabit."

Serangan gajah bukan suatu yang luar biasa di wilayah itu. Pada 2021, dilaporkan pemburu haram mati dibunuh gajah di taman negara Kruger.

Tahun lalu, 50 orang terkorban dan 85 cedera akibat serangan haiwan liar, kebanyakannya gajah, di Zimbabwe.

Dalam pada itu, AFP turut menghubungi Menteri Luar Sepanyol dan menurut kenyataan, mangsa berasal dari Zaragoza di timur laut Aragon.

Wakil kerajaan memaklumkan La Vanguardia bahawa kakitangan konsulat ke lokasi kejadian untuk menguruskan perkara itu dan bawa pulang mayat mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 11:19 AM