DEWAN Negeri Selangor. FOTO arkib NSTP
DEWAN Negeri Selangor. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki dan Ruwaida Md Zain


MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tarikh diperkenan baginda bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Ia bagi membolehkan satu pilihan raya negeri Selangor diadakan.

Mohamed Azmin dalam satu kenyataan ringkas, berkata, ia dibuat selaras Perkara LV Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dibaca bersama Perkara LXX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Saya sudah mengambil maklum pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkuat kuasa pada esok.

“Saya akan menghadap Sultan Selangor bagi menyampaikan nasihat untuk mendapat perkenan baginda bagi pembubaran DUN Selangor.

“Saya akan menghadap Sultan Selangor pada tarikh diperkenankan baginda bagi mendapat perkenan Tuanku untuk pembubaran DUN Selangor supaya proses pilihan raya negeri ke-14 dapat diadakan,” katanya.

Sementara itu, difahamkan Mohamed Azmin dijangka menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi pembubaran DUN Selangor pada Isnin atau Selasa depan.

Hari ini, Najib mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa esok dalam siaran langsung disiarkan melalui stesen televisyen dan secara dalam talian dari Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 1:39 PM