Zafir ketika operasi papan tanda iklan haram di sepanjang Lebuhraya Utara- Selatan (Plus), di sini, petang semalam. FOTO AHMAD HASBI
Zafir ketika operasi papan tanda iklan haram di sepanjang Lebuhraya Utara- Selatan (Plus), di sini, petang semalam. FOTO AHMAD HASBI
Ahmad Hasbi


Nilai: Isu papan iklan haram di sepanjang Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Seremban (MBS), di sini, tidak berkesudahan apabila pemiliknya dilihat berani mencabar pihak berkuasa.

Sepanjang tahun ini sahaja 225 papan tanda yang mendapat arahan tanda roboh dan 145 daripadanya sudah diambil tindakan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim berkata, akibat kegiatan haram itu, MBS kehilangan hasil lebih setengah juta disebabkan pemasangan papan tanda iklan haram sepanjang tahun ini.

"Masih ada 80 lagi papan tanda yang dalam proses untuk dirobohkan dan ia dijangka selesai selewat-lewatnya hujung bulan depan.

"Isu ini sudah lama dibangkitkan MBS sejak 2018 lagi dan kami nampak ada usaha sudah diambil yang mana kompaun dikeluarkan, namun tidak dapat apa-apa tindak balas daripada pemilik papan iklan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas operasi papan tanda iklan haram di sepanjang lebuhraya itu, di sini, petang semalam, yang turut dihadiri Datuk Bandar MBS Datuk Masri Razali.

Tinjauan di sepanjang lebuh raya itu juga mendapati notis yang ditampal membabitkan iklan daripada jenama terkenal dan menggunakan duta atau model daripada selebriti popular.

Tambah Mohd Zafir, berdasarkan statistik, MBS mengeluarkan sebanyak 378 kompaun kepada pemilik papan tanda iklan pada 2021 dan 100 notis tampal pada 2022.

Jelas beliau, kerajaan negeri kesal apabila segelintir pemilik papan tanda iklan haram seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila mendirikan semula papan iklan yang sudah dirobohkan.

"Kalau kita tengok tadi, papan tanda yang dirobohkan itu bukannya baharu kerana sebelum ini MBS sudah merobohkannya, namun dinaikkan semula.

"Kami tidak melarang pembinaan papan iklan ini asalkan mematuhi prosedur pembinaan yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) lain turut diminta melakukan pemantauan berkenaan papan iklan haram bagi memastikan tidak berlaku ketirisan terhadap hasil negeri.

Jelasnya, tindakan lebih tegas akan diambil selepas ini bagi membendung isu papan iklan yang tidak mempunyai lesen kerana ia berisiko mendatangkan bahaya termasuk kepada pengguna lebuh raya.

"Buat masa ini kita baharu di peringkat pastikan mana-mana papan tanda tiada permit ini dirobohkan dan pada masa akan datang, kita akan fikirkan mekanisme lebih serius termasuk kepada tuan tanah yang membenarkan pembinaan tanpa permit di tanah mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 10:55 AM