ANGGOTA Maritim Malaysia melakukan pencarian nelayan yang dikhuatiri lemas di perairan Kuala Kedah. FOTO Ihsan Maritim Malaysia.
ANGGOTA Maritim Malaysia melakukan pencarian nelayan yang dikhuatiri lemas di perairan Kuala Kedah. FOTO Ihsan Maritim Malaysia.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas terjun ke laut sewaktu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis menahan vesel nelayan tempatan berkenaan di kedudukan 4.1 batu nautika barat muara Kuala Kedah jam 9.50 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot ronda Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis ketika itu sedang melaksanakan Op Aman dan Op Tiris 3.0 yang mengesan vesel berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, susulan daripada itu, bot ronda Maritim Malaysia menghampiri vesel terbabit kerana mengesyaki berlakunya aktiviti menangguk siput.

"Bagaimanapun vesel itu bertindak melarikan diri dengan memecut laju ke arah perairan negeri ini selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Namun ketika diikejar, seorang kru vesel berusia 40-an disyaki bertindak terjun ke laut selepas vesel berkenaan ditahan dan disoal siasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azreyanti berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) berkenaan kejadian ini.

Beliau berkata susulan itu, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi mengkoordinasikan Operasi Carilamat dan bot ronda Maritim Malaysia, bot Perkasa 1224 dan bot Perkasa 1227 ditugaskan ke lokasi mangsa disyaki terjun ke laut.

"Usaha mengesan mangsa turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan beberapa vesel nelayan tempatan.

"Selain itu, Zon Maritim Kuala Kedah juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 11:23 AM