MOHAMED Azmin Ali. FOTO Bernama
MOHAMED Azmin Ali. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mengenai pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia.

Mohamed Azmin berkata, pertemuan berkenaan berkemungkinan akan diadakan pada malam ini atau selewat-lewatnya esok.

"Saya tidak mendapat maklumat sehingga sebentar tadi dan saya mengucapkan terima kasih kerana diberi kepercayaan untuk menerajui kementerian kanan.

"Saya juga sudah menyembah maklum kepada Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) sebentar tadi mengenai maklumat yang saya perolehi dan turut memaklumkan pertemuan saya dengan Dr Mahathir bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelantikan itu," katanya ketika ditemui di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, pertemuan bersama Perdana Menteri akan membincangkan skop tugas yang akan diamanahkan kepadanya.

"Seterusnya, selepas pertemuan itu saya akan mengadap Sultan Selangor esok untuk memutuskan di mana peranan dan tanggungjawab yang perlu saya mainkan sama ada kekal di Selangor atau bertukar ke Persekutuan.

"Sudah tentu beban tugas di peringkat Persekutuan amat besar memandangkan usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara sedang giat dijalankan," katanya.

Mohamed Azmin berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan lantikan berkenaan selepas mengadap Sultan Selangor susulan perbincangan yang akan dilakukan dengan Dr Mahathir.

Katanya, beliau tidak akan memegang dua jawatan, justeru perbincangan dengan Perdana Menteri perlu diadakan secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 9:42 PM