MARIAM rapat dengan keluarga mangsa kerana mereka pernah menyewa rumah 20 meter dari rumahnya dan sering mengajar Nur Zuryn mengaji al-Quran pada waktu malam. FOTO Shamsul Kamal Amarudin.
MARIAM rapat dengan keluarga mangsa kerana mereka pernah menyewa rumah 20 meter dari rumahnya dan sering mengajar Nur Zuryn mengaji al-Quran pada waktu malam. FOTO Shamsul Kamal Amarudin.
Oleh Shamsul Kamal Amarudin


“OPAH! Tolong! ada orang nak pukul Zuryn dengan parang,” jerit Nur Zuryn Faziera, yang berlari meminta bantuan ke sebuah rumah di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Muhammad dalam kejadian amuk yang meragut nyawa tiga adiknya dan mencederakan empat yang lain di Kampung Sungai Haji Muhamad, Selekoh, dekat Rungkup di Bagan Datuk, semalam.

Nur Zuryn, 9, yang juga kakak sulung kepada tiga beradik yang maut dalam kejadian itu, berlari ke arah rumah Mariam Yaakob, 65, sebaik tubuhnya dilibas dengan parang oleh suspek.

Tindakan Nur Zuryn yang terus berlari meninggalkan kawasan sekolah menuju ke rumah Mariam berjaya menyelamatkannya daripada kecederaan parah.

Mariam berkata, Nur Zuryn kemudian memintanya menelefon ibu murid Tahun Tiga itu, Zuraidah Md Ali, 35, yang lebih mesra dengan panggilan Ida, tetapi tidak berjawab.

Nur Zuryn kemudian berlindung seketika di rumahnya manakala anak Mariam, Mubarak Mohamad Yaacob, 24, membawa rakan Nur Zuryn yang dikenali sebagai Aina, yang cedera di tangan dan kepala akibat ditetak, ke Klinik Kesihatan Selekoh untuk menerima rawatan.

Mariam berkata, ketika itu dia melihat lelaki berkenaan masih mundar-mandir di hadapan sekolah dan mengejar sesiapa sahaja yang berada di hadapannya termasuk beberapa anggota polis yang cuba menenangkannya.

“Mak cik melihat bajunya berlumuran darah, tetapi tidak pula menyangka dia sanggup membunuh tiga anak Ida (Zuraidah) dengan kejam,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, tiga beradik yang maut itu adalah Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2, abangnya Muhammad Firash Zaffril, 3 dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5.

Turut cedera dalam kejadian itu adalah Zuraidah, yang putus ibu jari kanan dan pergelangan tangan kiri hampir putus, manakala seorang guru agama turut cedera dan dirawat di Hospital Teluk Intan.

Mariam berkata, dia rapat dengan keluarga mangsa kerana mereka pernah menyewa di rumah yang terletak hanya kira-kira 20 meter dari rumahnya dan sering mengajar Nur Zuryn mengaji al-Quran pada waktu malam.

Katanya, keluarga itu kemudian berpindah ke rumah sendiri hasil bantuan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya, tidak sampai sebulan lalu.

“Ketika mereka tinggal berhampiran rumah saya, ketiga-tiga mangsa terutama Muhammad Firash Zaffril dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq sering bermain di hadapan dan dalam rumah saya.

“Saya tidak menyangka lelaki terbabit sanggup membunuh kanak-kanak tidak berdosa itu pada hari pertama Ramadan dan turut menggemparkan seluruh kampung.

“Sehari sebelum kejadian, lelaki itu datang ke rumah saya untuk meminjam alat penyembur racun, tetapi memulangkannya tidak lama kemudian dalam keadaan merengus,” katanya.

Berita berkaitan

'Haq teruja mahu berpuasa tapi...'

'Kami trauma lihat rumah tu...'

[UPDATE] 'Mujur saya pakai helmet'

[UPDATE] 'Suspek dakwa rasa tidak tentu arah'

Sampai hati kau, sahabat...

[UPDATE] Suspek positif dadah rupanya...

'Suspek bunuh tiga beradik direman' [METROTV]

[UPDATE] Suspek tiada rekod sakit mental

'30 minit kemudian jeritan terhenti...' [METROTV]

Tragedi 1 Ramadan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 8:52 PM