Zahratulhayat Mat Arif dan S. Ravale


SUSPEK yang dipercayai menyebabkan kematian tiga beradik dan mencederakan empat yang lain di Kampung Sungai Haji Muhammad, Rungkup, di Bagan Datuk semalam, positif dadah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, ujian saringan awal menunjukkan suspek yang berusia 35 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

"Hasil siasatan ke atas suspek mendapati, dia berada dalam keadaan sedar ketika kejadian itu kerana dia tahu siapa (mangsa) yang hendak dicarinya.

"Ini kerana jarak rumah antara suspek dan mangsa hanya kira-kira 300 hingga 400 meter sahaja dan suspek adalah rakan sekerja dan kenalan kepada bapa mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, Teluk Intan, hari ini.

Ditanya sekiranya suspek dan bapa kepada adik-beradik itu mempunyai perselisihan faham, Mohd Marzukhi berkata, beliau tidak dapat memastikan perkara itu kerana siasatan masih dilakukan.

"Kami juga masih lagi menyiasat motif pembunuhan kes ini," katanya.

Mohd Marzukhi berkata, suspek berjaya ditahan polis 2.45 petang selepas kira-kira 45 minit kejadian berlaku di dua lokasi iaitu di kediaman mangsa dan Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad.

Katanya, seorang anggota polis turut cedera akibat terkena parang yang digunakan suspek ketika mahu membuat tangkapan.

"Apabila sampai di sekolah, kelihatan lelaki itu bersama parang di dalam kawasan sekolah.

"Polis bertindak mengepungnya dan melakukan tangkapan tetapi berlaku pergelutan dan seorang anggota polis cedera," katanya.

Dalam kejadian 2 petang itu, Nurziah Fasihah Mohd Fadzil, 2, bersama dua abangnya, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Mumammad Faqhqih Zahirul Haq, 5, disahkan maut di tempat kejadian iaitu rumah keluarga mereka di kampung berkenaan.

Kejadian di rumah itu turut menyebabkan ibu mangsa, Zuraidah Md Ali, 35, parah.

Suspek kemudian pergi ke Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad

sebelum mencederakan seorang lagi anak Zuraidah yang juga anak sulung, Nur Zurin Faziera, 9, serta dua lagi penduduk kampung termasuk seorang murid tahun tiga.

Berita berkaitan

'Suspek bunuh tiga beradik direman' [METROTV]

[UPDATE] Suspek tiada rekod sakit mental

'30 minit kemudian jeritan terhenti...' [METROTV]

Tragedi 1 Ramadan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 12:54 PM