Muhammad Apendy Issahak


JENAZAH tiga beradik, Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2, abangnya Muhammad Firash Zaffril, 3 dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5, akhirnya dapat dituntut ahli keluarga selepas hampir 10 jam proses bedah siasat dijalankan, hari ini.

Bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh difahamkan bermula 9 pagi dan berakhir 7 malam.

Tiga beradik berkenaan adalah mangsa yang maut dalam tragedi 1 Ramadan semalam akibat ditetak rakan sekerja bapa mereka dalam kejadian di Kampung Sungai Haji Muhamad, Selekoh, Bagan Datuk.

Difahamkan hasil bedah siasat mendapati punca kematian ketiga-tiga mangsa adalah pendarahan berlebihan akibat luka hirisan dan tetakan di leher.

Bapa tiga beradik itu, Mohd Fadzil Mohammad, 32, turut sama menunggu bagi menuntut jenazah dari 8 pagi hingga proses bedah siasat selesai dan jenazah kemudian dimandikan sebelum disembahyangkan oleh ahli keluarga di Jabatan Forensik HRPB.

Jenazah tiga beradik itu kemudian dibawa dengan van jenazah untuk dihantar ke kampung halamannya di Ulu Dedap, Seberang Perak, untuk dikebumikan.

Dijangka semua jenazah akan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Ulu Dedap selepas solat Isyak.

Dalam kejadian amuk 2 petang semalam, turut cedera adalah ibu mangsa Zuraidah Md Ali, 35, yang putus ibu jari kanan dan pergelangan tangan kiri hampir putus serta anak sulung Nur Zuryn Faziera, 9, yang cedera di kepala dan tangan kanan akibat ditetak.

Rakan sekolah anak sulung keluarga berkenaan dikenali sebagai Aina berusia sembilan tahun dan seorang guru agama Redhuan Embi, 32, turut cedera di pipi akibat ditetak susulan suspek bertindak ke sekolah berhampiran untuk menetak Nur Zuryn Faziera yang ketika itu berada di pondok di hadapan sekolah.

Polis turut mengesahkan seorang anggota polis turut cedera akibat bergelut dengan suspek ketika ingin memberkasnya dan suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan selain ujian air kencing turut mendapati positif syabu dan ganja.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Opah...tolong Zuryn!'

'Haq teruja mahu berpuasa tapi...'

'Kami trauma lihat rumah tu...'

[UPDATE] 'Mujur saya pakai helmet'

[UPDATE] 'Suspek dakwa rasa tidak tentu arah'

Sampai hati kau, sahabat...

[UPDATE] Suspek positif dadah rupanya...

'Suspek bunuh tiga beradik direman' [METROTV]

[UPDATE] Suspek tiada rekod sakit mental

'30 minit kemudian jeritan terhenti...' [METROTV]

Tragedi 1 Ramadan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 9:13 PM
MOHD Fadzil mendukung jenazah Muhammad Firash Zaffril keluar dari Jabatan Forensik HRPB, Ipoh untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ulu Dedap, Seberang Perak. FOTO Muhaizan Yahya
MOHD Fadzil mendukung jenazah Muhammad Firash Zaffril keluar dari Jabatan Forensik HRPB, Ipoh untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ulu Dedap, Seberang Perak. FOTO Muhaizan Yahya