ROZI Mamat. FOTO Bernama.
ROZI Mamat. FOTO Bernama.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Umno Terengganu akan terus bersolidariti menyokong Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerajui parti.

Setiausaha Umno negeri, Datuk Rozi Mamat berkata, pucuk pimpinan parti di peringkat negeri berkeyakinan dengan kepimpinan Ahmad Zahid.

Katanya, Ahmad Zahid tidak sepatutnya dipersalahkan berikutan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Sabtu lalu.

"Walaupun terdapat desakan agar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berundur diri secara terhormat daripada terus menerajui parti, tetapi kekalahan teruk BN bukan berpunca daripada beliau.

"Keputusan PRU-15 sudah diketahui dan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah ditubuhkan, sepatutnya isu mendesak Ahmad Zahid berundur diri dan melepaskan jawatan tidak perlu dibangkitkan," katanya kepada media ketika ditemui selepas penangguhan persidangan Dewan Undangan negeri (Dun), di sini, hari ini.

Dalam PRU-15 Sabtu lalu, BN hanya menang 30 kerusi Parlimen di seluruh negara.

Rozi berkata semua pimpinan tertinggi parti harus memberi sokongan tanpa berbelah bagi kepada Ahmad Zahid untuk terus menerajui parti.

"Desakan agar beliau berundur dan melepaskan jawatan dihentikan segera dan semua pimpinan parti perlu bermuhasabah diri dengan kekalahan itu.

"Pucuk pimpinan tertinggi parti di semua peringkat diminta untuk terus bangkit bagi memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) terus maju, " katanya.

Dalam perkembangan lain, Rozi berkata, BN negeri akan melakukan bedah siasat berikutan kekalahan lapan kerusi Parlimen di Terengganu.

Katanya, hasilnya akan dibentangkan kepada jawatankuasa tertinggi parti dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Said.

"Kita akan melakukan penambahbaikan dan berusaha untuk menyelesaikan apa jua masalah sehingga menyebabkan lapan kerusi Parlimen BN dinegeri ini dimenangi calon Perikatan Nasional (PN).

"Kita juga sedang merangka strategi sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya negeri (PRN) yang dijangka akan diadakan Mac depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 5:22 PM