Mukhriz (tengah) disambut penyokongnya ketika hadir di hadapan Bangunan Tunku malam ini. - Foto BERNAMA
Mukhriz (tengah) disambut penyokongnya ketika hadir di hadapan Bangunan Tunku malam ini. - Foto BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kedudukan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah hanya boleh ditentukan menerusi undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kuasa pada Jemaah Pemangku Sultan negeri itu, kata pakar-pakar perlembagaan.

Profesor Undang-undang, Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata jika sidang DUN Kedah sedang berlangsung, kedudukan Mukhriz perlu ditentukan berdasarkan sokongan anggota DUN itu.

"Kedudukannya di dewan bergantung kepada sokongan majoriti sama ada dari ADUN kerajaan atau ADUN lain," katanya hari ini.

Bagaimanapun, katanya jika sidang DUN Kedah tidak berlangsung ketika ini, kuasa membuat keputusan berkaitan kedudukan Mukhriz tertakluk di bawah Jemaah Pemangku Sultan Kedah memandangkan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzamShah ketika ini sedang menduduki jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

"Buat masa ini, kita kena tunggu dan lihat apa yang akan berlaku seterusnya," kata beliau.

Seorang lagi pakar perlembagaan Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, pengumuman oleh Ahmad Bashah Md Hanipah hanya satu 'pandangan' dan tidak sah dijadikan 'dokumen' menentukan kedudukan Muhkriz sebagai Menteri Besar.

Beliau yang juga Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata. ia sebaliknya perlu dibawa ke sidang DUN dengan undi hilang keyakinan perlu dilakukan oleh anggota dewan dengan sekurang-kurangnya majoriti mudah.

"Ini adalah basic (asas)...kita sudah lalui beberapa pengalaman seperti ini, yang terbaharu di Selangor dahulu.

"Ahli-ahli dewan perlu menyatakan pendirian dengan menandatangani 'statutory declaration' bahawa mereka hilang kepercayaan kepada Menteri Besar,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Profesor Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berpendapat, selepas mengumumkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz, Ahmad Bashah selepas ini pastinya akan cuba membawa perkara itu ke sidang DUN untuk memutuskan kedudukan Muhkriz.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia itu menyarankan kepimpinan UMNO di peringkat pusat mendapatkan maklum balas semua pihak di negeri itu termasuk masyarakat agar keputusan yang dibuat nanti tidak bercanggah dengan kemahuan rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 11:06 PM