Khairul Azran Hussin dan Ruwaida Md Zain


DATUK Seri Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah, Shah Alam, hari ini.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan ikrar Aku Janji itu diadakan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mohamed Azmin, 54,yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dilantik sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mohamed Azmin turut melafazkan ikrar Aku Janji merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi serta patuhi sepanjang memegang jawatan Itu.

Antara Aku Janji itu ialah memelihara serta memastikan agama Islam tidak diganggu gugat serta menghormati agama bukan Islam; memelihara institusi raja dari dicaci serta diganggu; mematuhi arahan tuanku sultan.

Selain itu, memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta kepentingan sah kaum lain; melaksanakan tugas dengan penuh integriti serta bertanggungjawab; mendahulukan rakyat; dan memastikan kemakmuran negeri ini ditahap tertinggi.

Lain-lain ialah memelihara jawatan yang diamanahkan dari dicemari tindakan menyalahi undang- undang dan,memelihara perpaduan.

Istiadat itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

PRU14 menyaksikan PH berjaya meraih 51 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Barisan Nasional (BN) hanya empat kerusi dan PAS satu kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 4:14 PM
SULTAN Sharafuddin berkenan menyampaikan pelantikan Menteri Besar Selangor kepda Mohamed Azmin. FOTO Muhammad Sulaiman
SULTAN Sharafuddin berkenan menyampaikan pelantikan Menteri Besar Selangor kepda Mohamed Azmin. FOTO Muhammad Sulaiman