Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) selepas mengangkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji Menteri Besar Selangor di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah hari ini. FOTO BERNAMA

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Selangor menampilkan tujuh Pengerusi Jawatankuasa Tetap (Exco) baharu termasuk seorang dari Barisan Nasional (BN) bagi penggal ini.

Bekas Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim dari DAP antara tujuh Exco yang mengangkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Enam yang lain adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail, Adun Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi, Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, Adun Banting V Papparaidu, Adun Seri Setia Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Adun Taman Templer Anfaal Saari.

Sementara itu, tiga bekas Exco yang dilantik semula adalah Adun Kinrara Ng Sze Han, Adun Pandan Indah Izham Hashim dan Adun Tanjong Sepat Borhan Aman Shah.

Dari segi komposisi parti pula, seramai tiga Adun mewakili PKR iaitu Borhan, Mohd Najwan dan Mohammad Fahmi manakala DAP diwakili empat Adun membabitkan Sze Han, Suee Lim, Jamaliah dan Papparaidu.

Amanah pula diwakili dua Adun iaitu Izham dan Anfaal manakala BN diwakili Rizam.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta pengurniaan Surat Cara Lantikan itu diadakan di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini, petang tadi.

Selangor menjadi negeri terakhir melengkapkan barisan pentadbiran setelah menghadapi Pilihan Raya Negeri, 12 Ogos lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari ketika ditemui media mengesahkan portfolio barisan Exco akan diumumkan, Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 4:13 PM