MOHAMAD Hasan bergambar bersama penerima Sijil Layak Menduduki Bangunan sempena Majlis Penyerahan Sjil Layak Menduduki Bangunan (CFO) di Taman Seri Mambau. FOTO Iqmal Haqim Rosman
MOHAMAD Hasan bergambar bersama penerima Sijil Layak Menduduki Bangunan sempena Majlis Penyerahan Sjil Layak Menduduki Bangunan (CFO) di Taman Seri Mambau. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Ifwan Tun Tuah


Gambar oleh Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN:

“Apa tepuk tangan? Jangan tepuklah, ini semua masalah dulu,” seloroh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika berucap berhubung projek perumahan terbengkalai yang diselamatkan di bawah pentadbirannya.

Mohamad mengibaratkan puluhan projek terbengkalai itu seolah-olah menyambut pelantikannya sebagai Menteri Besar pada 2004 dan beliau memandang serius perkara itu kerana tidak mahu membiarkan ramai rakyat teraniaya.

“Ramai orang, terutama di Seremban, Sendayan, Port Dickson dan Jelebu mengalami kerugian kerana terpaksa membayar pinjaman sedangkan rumah yang dijanjikan tidak siap.

“Ini semua sebenarnya masalah antara mereka dengan pemaju, bukan masalah dengan kerajaan negeri. Tetapi kita tidak abaikan, kita perhalusi kes satu persatu dan masuk campur untuk menyelesaikannya.

“Kita minta bantuan Jabatan Perumahan Negara dan beri banyak kelonggaran kepada pemaju yang mengambil alih projek terbengkalai. Malah, mereka juga diberi kebenaran merancang baharu di atas lebihan tanah projek yang mereka selamatkan,” katanya.

Mohamad berkata demikian selepas majlis penyerahan sijil layak menduduki bangunan (CFO) kepada 92 pemilik rumah di Taman Seri Mambau, yang terbengkalai pada 2004 di Seremban, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, selain projek terbengkalai, beliau juga menyelesaikan isu penduduk di kawasan ladang yang dipaksa berpindah apabila tapak rumah diambil semula pemilik baharu yang mengambil alih kawasan terbabit.

“Kerajaan negeri masuk campur dengan menjadi orang tengah untuk merangka perjanjian baharu antara penduduk dengan pemilik tanah. Malah, ada kes kerajaan negeri gantikan tanah lain kepada pemilik asalkan penduduk tidak dihalau,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri memohon bantuan Jabatan Perumahan Negara supaya projek terbabit dikategorikan sebagai projek sakit sebelum proses mahkamah dimulakan bagi membolehkan pemaju lain mengambil alih pembangunannya.

Beliau berkata, pemilik rumah Taman Seri Mambau boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu lagi menyewa, malah mendapat keuntungan apabila rumah yang dibeli pada harga RM80,000 dahulu kini bernilai RM220,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 8:28 PM