Oleh Nazarali Saeril


Kuala Lumpur: Sebanyak 146 pemaju perumahan sudah disenarai hitam kerana kegagalan mereka menyiapkan projek masing-masing.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pada masa sama, 3,607 ahli lembaga pengarah semua syarikat pemaju perumahan terbabit turut disenarai hitam.

"Individu yang disenarai hitam itu tidak boleh memohon untuk mengiklankan projek perumahan baru. Pada masa sama, sehingga 8 Mei lalu, selain pemaju perumahan, turut disenarai hitam adalah 337 pemaju yang gagal membayar kompuan serta 307 pemaju yang ingkar award tribunal tuntutan perumahan rakyat.

"Selain itu, 131 pemaju projek sakit, 17 pemaju yang disabitkan kesalahan mahkamah lebih RM10,000 dan 80 pemaju tanpa lesen juga disenarai hitam," katanya menjawab soalan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurut Halimah, sehingga 30 April lalu, 165 daripada 216 projek terbengkalai yang direkodkan sejak 2009 diteruskan semula.

Pada masa sama, Halimah berkata, 51 projek perumahan terbengkalai pula dalam proses diaktifkan semula.

"Antara langkah diambil ialah mengenal pasti pemaju perumahan yang berpotensi untuk mengambil alih projek terbabit selain kerajaan mengeluarkan peruntukan untuk memulihkan projek terbengkalai rumah kos rendah serta kos sederhana," katanya.

Berkaitan kepentingan pembeli rumah pula, Halimah berkata, penggubalan Akta 118 mampu memberi perlindungan lebih baik kepada pembeli daripada pemaju ingkar.

"Penggubalan terhadap Akta 118, antara lainnya, membolehkan pembeli untuk membatalkan perjanjian jual dan beli (S&P) dengan pemaju perumahan jika pembeli mendapati tiada aktiviti fizikal dijalankan di tapak pembinaan dinyatakan selepas enam bulan S&P ditandatangani," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 6:31 PM