Mohd Roji Kawi


Kuching: Kira-kira 200 pembeli rumah di Sentoria Borneo Semariang Garden di sini yang berang selepas rumah idaman mereka itu terbengkalai sejak beberapa tahun lalu, mempunyai cara tersendiri untuk menyampaikan mesej kepada pemaju perumahan terbabit.

Selepas sekian lama memendam rasa, mereka sepakat membuat rumah terbuka Aidilfitri di rumah terbengkalai itu hari ini.

Jurucakap kumpulan pembeli rumah Fasa 7 perumahan berkenaan, Abdul Rahman Abdul Hamid, 33, mereka amat kecewa dengan sikap pemaju yang terus menghilang sejak kali terakhir menghantar surat kepada mereka September tahun lalu.

Dalam surat itu katanya, pemaju berjanji untuk meneruskan projek itu pada suku keempat 2021 dan memberi jaminan menyiapkannya dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun katanya, selepas itu pemaju terus terputus hubungan dan pembeli kini tidak tahu untuk berurusan dengan siapa selepas pemaju yang beribu pejabat di Kuantan, Pahang itu menutup pejabatnya di Kuching.

"Pembeli kini buntu selepas pelbagai usaha kami lakukan termasuk mengadakan pertemuan dengan pemaju serta pihak berwajib pada 3 Oktober 2020.

"Ketika itu, pihak berwajib memberi tempoh tiga bulan kepada pemaju untuk menyelesaikan masalah, namun sekarang sudah 2022, masalah itu masih tiada penyelesaian," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilftiri di rumah terbengkalai itu, hari ini.

Abdul Rahman berkata, projek terbengkalai yang bermula sejak 2018 itu membabitkan lebih 1,000 unit rumah dengan iaitu di Fasa 4, 5 dan 7 kira-kira 600 unit manakala Spektra 1 dan Spektra 2 pula sebanyak 500 unit.

Menurutnya, mereka yang majoriti kakitangan awam kini cukup terbeban kerana terpaksa menyewa rumah, pada masa sama membayar ansuran bulanan antara RM1,000 hingga RM2,000.

PEMBELI mengadakan sambutan rumah terbuka di kawasan perumahan terbengkalai Borneo Samariang Garden Phase 7- Sentoria. FOTO Nadim Bokhari.
PEMBELI mengadakan sambutan rumah terbuka di kawasan perumahan terbengkalai Borneo Samariang Garden Phase 7- Sentoria. FOTO Nadim Bokhari.

"Pembiayaan bayaran pinjaman perumahan dibuat secara potongan gaji kira-kira tiga tahun sejak 2019 namun rumah belum dapat disiapkan.

"Pembeli memang amat terkesan terutamanya dari segi kewangan. Bebanan hidup semakin berat dan impian kami untuk menyambut perayaan di rumah sendiri, entah bila akan menjadi kenyataan," katanya.

Menurutnya, mereka amat mengharapkan campur tangan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah yang membebankan rakyat itu.

Sementara itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg ketika ditemui pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di sebuah hotel di sini, hari ini memberi jaminan kerajaan negeri akan mengambil alih projek berkenaan.

Bagaimanapun katanya, isu perundangan perlu diselesaikan terlebih dahulu kerana pemaju terbabit adalah syarikat senarai awam.

"Saya tidak fikir mereka (pemaju) akan dapat meneruskan projek perumahan itu.

"Sebab itu, kerajaan Sarawak bersedia mengambil alih projek itu, namun kita perlu menyelesaikan isu perundangan terlebih dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 5:02 PM