ABU Bakar memetik tembikai emas  pada program Sentuhan Kasih FELDA Chini Timur 2, semalam.
ABU Bakar memetik tembikai emas pada program Sentuhan Kasih FELDA Chini Timur 2, semalam.
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Memperbanyakkan perumahan generasi kedua dan menambah bilangan usahawan tani di kawasan FELDA Chini menjadi agenda utama calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Beliau yang bakal mempertahankan kerusi DUN itu bagi penggal keempat berkata, walaupun kemudahan berkenaan disediakan kerajaan sebelum ini, namun ia tidak mencukupi untuk keperluan generasi kedua tanah rancangan itu.

Justeru, katanya, 500 unit rumah dibina selepas ini bagi memberi peluang lebih ramai generasi muda memiliki rumah dan pada masa sama terbabit pekerjaan di pelbagai sektor.

“Sokongan agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melancarkan lagi usaha menambah lebih ramai usahawan tani dalam bidang pertanian termasuk Perusahawan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Usaha saya buat bagi membantu masyarakat FELDA Chini diharap mendapat sokongan rakyat untuk terus menyokong BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini,” katanya di sini, semalam.

Abu Bakar yang lebih popular dengan panggilan Ayah Ngah dalam kalangan generasi muda berkata, bagi menampung keperluan semasa, kerajaan menaik taraf pusat kesihatan selain membina pasar tani kekal.

Katanya, bagi mengatasi masalah bekalan air paip yang terganggu terutama pada musim kemarau kerajaan meluluskan pembinaan tangki peruntukan FELDA berharga RM9 juta di Kampung Dusun di sini.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan meluluskan pembinaan kem tentera dan litar ujian kenderaan tentera di FELDA Chini memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda yang tidak berminat berhijrah supaya terus kekal menetap di tempat kelahiran mereka.

“Saya yakin FELDA Chini suatu hari nanti menjadi pengeluar utama rozel dan tembikai emas apabila projek pertanian itu kini terus berkembang dengan sokongan agensi kerajaan.

“Dalam sektor pelancongan, Kuala Chini yang menjadi penghubung ke Tasik Chini dibangunkan dengan pembinaan jeti dan pelbagai kemudahan lain.

“Bagi memastikan semua agenda kerajaan dilaksanakan seperti dirancang, saya harap masyarakat dapat terus mengundi BN pada PRU14,” katanya sambil menambah ketika ini ada 17,800 pengundi termasuk 2,000 masyarakat Orang Asli di DUN Chini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 5:31 AM