PESERTA wanita memegang sarang lebah.
PESERTA wanita memegang sarang lebah.
LEBAH akasia mampu memberi pulangan lumayan.
LEBAH akasia mampu memberi pulangan lumayan.
PENGERUSI Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA Pahang Datuk Abu Bakar Harun dan peserta kursus melihat sarang lebah.
PENGERUSI Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA Pahang Datuk Abu Bakar Harun dan peserta kursus melihat sarang lebah.
Oleh Mohd Rafi Mamat


Usaha menjadikan FELDA gugusan Chini sebagai pengeluar utama madu lebah akasia terbesar di Pahang dalam tempoh lima tahun akan datang pasti membuahkan hasil apabila seramai 31 peserta terpilih menyertai kursus intensif teknologi ternakan lebah madu.

Kursus seminggu itu disertai generasi kedua FELDA Chini dan belia kampung berhampiran yang diadakan di FELDA Chini 3.

Ia dikendalikan syarikat Bee Park (Pahang) Sdn Bhd iaitu syarikat yang memiliki kepakaran dalam bidang ternakan lebah akasia.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA Pahang Datuk Abu Bakar Harun berkata, projek dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan FELDA bakal dimajukan di kawasan seluas lebih 20 hektar di FELDA Chini 3.

Katanya, projek berkenaan dijangka bermula selewat-lewatnya pertengahan tahun ini selepas senarai peserta yang terbabit diputuskan jawatankuasa.

Menurutnya, selain sebagai pengeluar utama madu lebah akasia ladang berkenaan turut menjadi pusat latihan termasuk destinasi pelancongan agro pertama di negara ini yang memberi peluang kepada pengunjung melihat lebih dekat projek itu.

“Melalui sokongan pelbagai pihak, saya yakin projek berkenaan berjaya seperti dirancang seterusnya mampu memberikan pendapatan lumayan kepada golongan belia FELDA yang terbabit.

“Mereka mampu meraih pendapatan hingga RM50,000 sebulan bergantung kepada jumlah kotak sarang termasuk lokasi kawasan ladang,” katanya pada majlis perasmian penutup kursus berkenaan, baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Unit Agropreneur Muda dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan, Mohd Arif Adenan.

Abu Bakar berkata, melalui projek ternakan lebah akasia itu, pelbagai produk hiliran bakal dihasilkan pihak terbabit dalam usaha menambahkan lagi pendapatan peserta.

Justeru katanya, generasi kedua FELDA gugusan Chini perlu merebut peluang disediakan kerajaan yang ingin melihat mereka berjaya dalam bidang perniagaan tanpa memerlukan modal terlalu besar.

“Sebagai modal permulaan, mereka yang berminat mengusahakan projek itu boleh membuat pinjaman dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) sementara taklimat berkaitan pinjaman diberikan pegawai agensi berkenaan.

“Selepas projek lebah akasia di gugusan FELDA Chini berjaya, saya bakal memperluaskannya di semua 115 kawasan FELDA di negeri ini bagi memenuhi permintaan peminat madu lebah di negara ini terus bertambah,” katanya.

Beliau berkata, negara kini mengimport lebih 29,000 tan madu lebah dari negara Asia Tenggara bagi menampung permintaan untuk dijadikan makanan kesihatan selain dijadikan ubat.

Peserta kursus, Norazam Maarof, 42, berkata pengalaman melihat beberapa rakan disengat lebah ketika berkursus tidak mematahkan semangatnya untuk terbabit dalam bidang ternakan lebah.

Beliau berkata, selepas menyertai kursus, keinginan untuk menceburi projek ternakan lebah akasia secara komersial semakin menebal walaupun bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Permintaan menggalakkan terhadap madu lebah selain harga lumayan menjadi pendorong kuat kepada saya untuk terbabit dengan projek berkenaan yang bakal dipantau sepenuhnya agensi kerajaan selain tenaga pakar dalam bidang itu.

“Kemudahan pinjaman disediakan TEKUN sebanyak RM50,000 bakal melancarkan lagi usaha saya menjadi wanita tunggal di gugusan FELDA Chini terbabit bidang ternakan lebah akasia secara komersial,” katanya yang menetap di FELDA Chini Timur 3.

Bagi Yusnita Che Ahmad, 33, dari FELDA Chini 2, pe­ngalaman menyertai kursus diadakan menambahkan lagi minatnya untuk menceburi bidang ternakan lebah akasia seterusnya menjadikan FELDA gugusan Chini sebagai pengeluar utama madu lebah akasia dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Saya difahamkan mereka yang terbabit projek berkenaan mampu meraih pendapatan hingga RM50,000 sebulan bergantung kepada jumlah kotak sarang termasuk jumlah pokok akasia yang ada dalam kawasan ladang.

“Generasi kedua FELDA gugusan Chini perlu merebut peluang disediakan kerajaan dalam memastikan taraf ekonomi mereka terus bertambah kerana projek berkenaan mampu memberikan pendapatan lumayan dan boleh dilakukan secara sambilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 9:43 AM