Bendera parti yang bertanding bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN)  Johor memenuhi di Kampung Melayu Majidee. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Bendera parti yang bertanding bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memenuhi di Kampung Melayu Majidee. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mahaizura Abd Malik


Johor Bahru: Penyertaan 12 anak Felda sebagai calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini membuktikan suara akar umbi masyarakat Felda penting di bawa ke hadapan.

Daripada jumlah itu, lima calon daripada Barisan Nasional (BN), manakala empat dari Perikatan Nasional (PN), dua calon PKR dan seorang mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Muhamad Fadzli Hasan berkata, langkah parti mengetengahkan calon anak Felda satu pengiktirafan kepada masyarakat tanah rancangan itu.

"Kalau berdasarkan pengetahuan saya, kira-kira 12 anak Felda dicalonkan bertanding dalam PRN ini.

"Ikutkan Felda ini komuniti kedua terbesar di Johor, jadi keputusan mana-mana parti meletakkan calon dari anak Felda sendiri satu tindakan tepat.

"Tidak kira parti mana pun, apa yang penting kita mahu calon Felda yang menang dan terpilih nanti perlu laksanakan tugas sebaik mungkin serta membawa isu semasa dan keperluan masyarakat Felda terutama isu lot tanah generasi baharu," katanya.

Bagi calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Penawar, Fauziah Misri, pencalonan anak Felda membolehkan isu berkaitan masyarakat Felda khususnya generasi kedua diangkat sebagai keutamaan.

"Bercakap soal pembaharuan sebenarnya masih ada isu lama yang perlu kita selesaikan dulu seperti penempatan generasi dan peluang anak Felda.

"Kita menyaksikan dengan kegoyahan kerajaan, tidak banyak dasar kukuh yang boleh dilaksanakan untuk masyarakat termasuk orang Felda.

"Justeru, pasukan akan kerja kuat untuk kemenangan parti dan saya sendiri akan meneruskan apa yang sudah digerakkan sebelum ini.

"Ini termasuk membantu dan bersama masyarakat dalam apa keadaan sekalipun ketika banjir, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), darurat dan sebagainya. Tetap rakyat keutamaan kami," katanya.

Generasi ketiga Felda Cahaya Baru Masai yang juga calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang bertanding di Dun Bukit Permai, Mohd Azrol Ab Rahani pula berkata, dia bertuah diberi kepercayaan bertanding pada PRN ini, sekali gus menyangkal dakwaan segelintir pihak parti Muda hanya untuk golongan elit.

"Ini kali pertama saya memasuki gelanggang pilihan raya dan sudah tentu ada sedikit gementar tetapi bersemangat untuk menghadapi calon lain yang lebih senior dari saya.

"Fokus saya ialah memastikan kesinambungan generasi kedua dan ketiga Felda dengan memperkenalkan pertanian moden di tanah mereka.

"Ini akan membantu mereka menambah mata pencarian dan kekal di Felda tanpa perlu berhijrah ke tempat lain untuk mencari rezeki," katanya.

Selain Fauziah dan Azrol, anak Felda lain yang bertanding pada PRN ini ialah generasi ketiga, Mohamad Alias Rasman yang bertanding di Dun Johor Lama mewakili Perikatan Nasional (PN).

Turut bertanding ialah calon dari BN, Muszaidi Makmor (Dun Sedili), Anuar Abd Manap (Dun Pemanis), Mutalif Rahim (Dun Layang-Layang) dan Norliza Noh (Dun Johor Lama).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 1:47 PM