TASIK CHINI
TASIK CHINI
Datuk Abdul Wahab Mohamad Ali

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Peribahasa itu amat sesuai jika dirujukkan kepada Ahli Dewan Undangn Negeri (Adun) kawasan Chini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia pada 6 Mei lalu.

Anak peneroka Felda dari Jengka, Maran juga seorang peneroka di Rancangan Tanah Felda Chini 3, Pekan, pertama kali bertanding sebagai calon UMNO/Barisan Nasional (BN) di Dewan Negeri (DUN) kawasan Chini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11 pada 2004.

Usaha dan khidmat bakti untuk rakyat menyaksikan beliau yang lebih dikenali sebagai Datuk Burn mengekalkan kedudukan dengan majoriti besar pada PRU-12 (2008), PRU-13 (2013) dan terakhir pada PRU-14 (2018).

Tiga penggal sebagai wakil rakyat membolehkan beliau membawa pelbagai pembangunan fizikal dan sosioekonomi yang dimanfaati secara langsung dan tidak langsung dalam kalangan rakyat di kawasannya.

Ia termasuk pembinaan enam Dewan Semai Bakti di Rancangan Tanah -Rancangan Tanah Felda Chini 1, 2, 3, 4 dan 5 serta di Rancangan Tanah Felda Chini Timur 3 yang masing-masing berharga antara RM800,000 hingga RM1 juta.

Selain itu, pembinaan sebuah masjid di Rancangan Tanah Felda Chini Timur 3, pusat sukan di Rancangan Tanah Felda Chini Timur 2, pasar tani kekal Fama di Bandar Dara Chini, perumahan generasi kedua Felda di Taman Lamanda, Chini.

Begitu juga dalam pelaksanaan projek perumahan dan pengwujudan pekerjaan di bawah Projek Sentuhan Kasih di Rancangan Tanah Felda Chini Timur 2; perumahan transit untuk golongan asnaf dan memerlukan di Perumahan Komuniti dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Baru Salong.

Allahyarham turut berperanan menyelesaikan masalah perumahan di tapak perumahan TNB di Bandar Dara untuk didiami penduduk yang layak; menyegerakan pembinaan Pusat Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Tasik Chini serta dalam kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf Kompleks Pelancongan di Kuala Chini.

Daripada aspek pembangunan ekonomi dan tanah pula, Allahyarham memainkan peranan penting dalam mewujudkan Rancangan Tanah Kelompok (RTK)/Felcra di Bukit Udang dan projek ekonomi di Kampung Salong.

Berkaitan masyarakat Orang Asli, Allahyarham menjuarai usaha bagi mewujudkan RTK Orang Asli di Kampung Gumum serta menyelesaikan isu pertindihan kawasan tanah antara Orang Asli di Tanah Merah dengan penduduk/peserta Melayu di RTK Terapai dan antara Orang Asli Tasik Mentiga dengan penduduk Kampung Melayu Mambang.

Allahyarham juga sering mengadakan sesi bertemu penduduk secara mingguan bagi membantu menyelesaikan masalah mereka.

Menurut Pengurus Rancangan Tanah Felda Chini 3, Misbari Nazir mengakui Allahyarham seorang wakil rakyat yang sentiasa prihatan dengan permasalahan rakyat terutama di penempatan Felda.

"Dulu, saya juga jaga banyak rancangan lain (berhubungan dengan wakil rakyat di sana), tetapi inilah wakil rakyat yang paling open (terbuka) dan caring (penyayang) terhadap peneroka," katanya.

Bagi Setiausaha Penyelaras dan Pembangunan DUN Chini Ramlee Omar atau lebih dikenali sebagai Li Janggut, Allahyarham dianggap seorang pendiam namun ikhlas dan pantas menangani masalah penduduk.

ABU BAKAR HARUN
ABU BAKAR HARUN

Bukan itu saja, Pejabat Khidmat Masyarakat beliau seolah-olah sebuah kedai runcit yang penuh dengan pelbagai barangan keperluan untuk mereka yang memerlukan. Justeru, tidak hairanlah jika setiap kali PRU, nama Datuk Burn sentiasa bersinar untuk terus menabur bakti sebagai wakil rakyat di Chini.

Menurut Batin Oh Jo Heng dari Kampung Orang Asli Tasik Mentiga pula, Allahyarham mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat Orang Asli di DUN Chini.

Malah, beberapa minggu sebelum meninggal dunia, Allahyarham sempat bertanya khabar penduduk Orang Asli di kawasan selain menghulurkan sumbangan menyebabkan mereka terkejut dengan berita sedih itu.

Bagi Penghulu Mukim Penyor, Pekan, Norisham Ismail, Allahyarham seorang pemimpin dihormati kerana sifat pemurah, kuat kerja, penyayang dan teguh pada prinsip.

"Arwah sangat dihormati sebagai YB. Apa yang saya lihat, arwah sentiasa ambil peduli berkaitan aduan masyarakat seperti masalah berkaitan kesihatan, keselamatan dan kewangan," katanya.

Tiga perkara yang belum terlaksana sewaktu hayat Allahyarham ialah membantu rakyat untuk menjayakan kerja menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Chini bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan air bersih di kawasannya.

Ketika Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN), peruntukan RM12 juta diluluskan kepada Felda bagi menjayakannya namun dihentikan penyalurannya apabila Kerajaan Persekutuan diambil alih oleh Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-14 lalu.

Dua perkara yang sedang diusahakan Allahyarham adalah pembinaan Pusat, Latihan dan Ujian Kereta Kebal di bawah Kementerian Pertahanan di Kampung Bintang Terapai dan pembinaan pusat hemodialisis bagi pesakit buah pinggang di Pusat Latihan Felda Chini.


Penulis Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 6:00 AM