ZAHID (tengah) bergambar dengan orang ramai pada Majlis Gerak Mesra dan Jati Diri bersama Belia dan Masyarakat Bagan Datuk di Waterfront Bagan Datuk. -Foto AIZUDDIN SAAD
ZAHID (tengah) bergambar dengan orang ramai pada Majlis Gerak Mesra dan Jati Diri bersama Belia dan Masyarakat Bagan Datuk di Waterfront Bagan Datuk. -Foto AIZUDDIN SAAD
Shaarani Ismail


DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sudah mengarahkan polis menjalankan siasatan berhubung ugutan bunuh diterima seorang pembantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Negeri Sembilan pada hari penamaan calon, 28 April lalu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak boleh dikompromi apatah lagi ugutan itu membabitkan pegawai petugas SPR yang bertanggungjawab melaksanakan sistem demokrasi.

“Saya telah menyatakan, kita tidak boleh berkompromi jika erti menterjemah demokrasi ini dilakukan dengan cara kekasaran apatah lagi ugutan bunuh (terhadap) pegawai SPR kerana mereka adalah pegawai awam.

“Mereka hendaklah diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk melaksanakan tugas mengikut Akta SPR dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya sekali lagi meminta semua kepemimpinan parti semua peringkat sama ada parti kerajaan mahu pun pembangkang untuk memberitahu jentera dan ahli mereka atau pada sesiapa saja yang membantu untuk kempen parti berkenaan supaya mengikut peraturan mengikut Akta SPR.

“Kita mengizinkan semua bentuk kempen, tetapi ugutan tidak termasuk di dalam akta, malah boleh diambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jiwa Murni Tentera Darat Malaysia di Kampung Sungai Sumun, Bagan Datuk, hari ini.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi dan Panglima 2 Bridged, Datuk Mohd Nizam Jaafar.

Ahmad Zahid mengulas laporan akhbar berhubung ugutan bunuh diterima seorang pembantu petugas SPR dipercayai mempunyai kaitan dengan hari penamaan calon pada 28 April lalu.

Petugas lelaki berusia 36 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, pada 1 Mei lalu.

Mangsa sebelum itu menerima pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp daripada rakannya yang berkongsi paparan skrin daripada laman media sosial Facebook yang memuat naik gambarnya berserta komen berbaur ugutan terhadapnya.

Antara ugutan diterima ialah bunuh, mencederakan selain menggunakan kata-kata jelik terhadap mangsa

“Kita adalah negara berkemajuan, kita harus lebih matang di dalam menguruskan pilihan raya dan kempen pilihan raya, kita amat menghormati peranan dilakukan secara profesional oleh pegawai SPR di dalam menentukan perjalanan pilihan raya kali ini dan akan datang dengan penuh telus dan penuh kewibawaan.

“Ada beberapa tindakan dilakukan pihak SPR mengikut peraturan dan mengikut tata cara berkempen dan mereka harus menerima ini tanpa prasangka dan mereka tidak harus mengambil tindakan di tangan sendiri,” katanya.

Sementara itu, ditanya perkembangan insiden petugas parti pembangkang yang mencederakan petugas BN dari MCA di Yong Peng, baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata, biarlah polis menjalankan siasatan.

Katanya, polis akan memuktamadkan siasatan dan biarlah polis sahaja yang mengeluarkan kenyataan mengenainya.

Berita berkaitan

'Petugas SPR diugut bunuh'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 4:12 PM