BENDERA parti dipasang pada bot nelayan di pantai Pengakalan Balak bagi tujuan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. FOTO Asyraf Hamzah
BENDERA parti dipasang pada bot nelayan di pantai Pengakalan Balak bagi tujuan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

Melaka: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menyaksikan kelainan dalam persaingan antara parti politik kerana ia menarik penyertaan lebih ramai calon dan mereka perlu berkempen mengikut prosedur operasi standard (SOP) khas dan ketat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kali ini.

PRN Melaka menyaksikan peningkatan calon yang mengambil bahagian dalam proses demokrasi itu kepada seramai 112 orang berbanding 85 calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Melaka.

Bukan sahaja jumlah calon, bahkan pertandingan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) juga meningkat seperti di Asahan, Duyong dan Gadek yang menyaksikan pertandingan enam penjuru berbanding tiga penjuru pada PRU-14.

PRN ini juga mengetengahkan calon termuda berusia 21 tahun, Farzana Hayani Mohd Nasir di DUN Sungai Rambai dan calon tertua berusia 68 tahun iaitu Datuk Kalsom Noordin di DUN Pengkalan Batu.

Pilihan Raya ini juga menampilkan lebih 50 peratus calon muda iaitu seramai 65 orang berusia antara 21 hingga 49 tahun, manakala baki 47 calon berusia 50 hingga lebih 60 tahun selain mempertaruhkan 16 calon wanita dan 96 calon lelaki.

Dengan tamatnya proses penamaan calon pada 10 pagi tadi di 28 kerusi DUN di negeri ini yang berlangsung dalam suasana norma baharu, maka tempoh berkempen sudah bermula sehingga 11.59 malam, 19 November ini.

Tidak seperti hari penamaan calon sebelumnya, tiada suasana seperti karnival kerana perarakan dan perhimpunan ramai tidak dibenarkan di bawah SOP yang dikeluarkan SPR.

Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing mempertaruhkan 28 calon; Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22) pada PRN ini.

Selain itu, dua fakta menarik yang dapat dilihat pada pilihan raya ini ialah buat kali kedua satu pilihan raya negeri diadakan di Semenanjung secara bersendirian tanpa bersekali dengan pilihan raya umum selepas suatu Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Kelantan telah diadakan pada 11 Mac 1978.

PRN ini juga menyaksikan PAS bertanding menggunakan logo gabungan PN selepas buat kali pertama menggunakan panji-panji BN pada 1974.

Bagaimanapun, cabaran terbesar untuk calon dan lawan masing-masing ialah SOP khas yang ketat pada PRN ini.

Larangan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal serta corak kempen konvensional lain seperti jelajah mesra dan ziarah rumah ke rumah sepanjang tempoh PRN berlangsung, memaksa pihak yang bertanding berfikir di luar kotak untuk menyampaikan mesej dan memperkenalkan calon mereka.

Meskipun kadar celik media sosial sudah semakin tinggi dalam kalangan rakyat, ia bukanlah satu-satunya pilihan yang ada tanpa kemeriahan suasana pilihan raya yang sinonim dengan aktiviti berkempen, ceramah, ziarah rumah ke rumah dan perarakan.

SOP berkenaan diadakan bukanlah untuk menyekat kebebasan berkempen tetapi untuk memelihara kesejahteraan rakyat keseluruhan walaupun ada pihak yang tidak berpuas hati, selain bagi memastikan PRN Melaka tidak menjadi pencetus kepada kemunculan kluster Covid-19 yang baharu.

Walaupun terdapat pelbagai larangan, peluang untuk menyampaikan mesej kepada pengundi masih ada dengan melaksanakan kempen menerusi kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara dan mendapat permit polis.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang medianya juga turut memberikan contoh mudah bagi kefahaman semua dengan mengambil contoh penjualan tilam menggunakan lori dan alat pembesar suara yang melalui jalan di taman perumahan.

Pendekatan sama juga boleh diambil parti politik atau individu bertanding di samping SPR membenarkan pengedaran risalah bagi tujuan berkempen di peti surat penduduk sekitar dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

SPR juga telah menubuhkan 28 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya untuk memantau semua aktiviti calon ketika berkempen agar tiada sesiapa pun yang dikesan melanggar SOP yang ditetapkan.

SOP khas ini akan dilaksanakan dengan ketat pada semua proses perjalanan pilihan raya iaitu taklimat petugas, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, di sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

SPR menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 9:47 PM