SUSPEK (baju hitam) ditahan orang awam ketika cuba meragut dompet milik pelanggan di sebuah restoran di Jalan Jelok, Kajang, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
SUSPEK (baju hitam) ditahan orang awam ketika cuba meragut dompet milik pelanggan di sebuah restoran di Jalan Jelok, Kajang, semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN lelaki cuba meragut dompet milik pelanggan restoran di Jalan Jelok, Kajang, mengundang padah apabila dia ditahan orang awam, semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, suspek berusia 24 tahun itu ditahan ketika cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal Yamaha Y15Z.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, suspek dilihat menunggang motosikal di sekitar kawasan itu beberapa minit sebelum kejadian.

"Suspek kemudian bertindak melarikan dompet milik lelaki berusia 36 tahun yang sedang minum di restoran terbabit.

"Bagaimanapun, suspek berjaya dikejar oleh mangsa dengan bantuan orang ramai di lokasi kejadian," ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, ketika suspek ditahan berlaku pergelutan antara lelaki berkenaan dengan orang ramai.

"Pergelutan itu menyebabkan suspek cedera di bahagian kaki dan tangan. Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 3:13 PM