SUSPEK kes ragut cedera dipukul orang ramai di Jalan Paya Besar.
SUSPEK kes ragut cedera dipukul orang ramai di Jalan Paya Besar.

Kulim: Seorang peragut bukan sahaja gagal melarikan dompet milik seorang lelaki malah terpaksa menanggung kesakitan apabila turut dibelasah selepas ditahan oleh orang ramai dalam kejadian di Jalan Paya Besar, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam, suspek berusia 20-an cedera di muka dan badan selepas dibelasah orang ramai yang menyaksikan kejadian sebelum dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan.

Sumber berkata, kejadian berlaku berhampiran sebuah restoran ketika mangsa berusia 30-an bersama tiga rakannya berjalan untuk pulang ke rumah sebelum sebuah motosikal dinaiki dua lelaki menghampiri mereka.

Menurutnya, secara tiba-tiba pembonceng motosikal terbabit cuba meragut dompet mangsa yang diletakkan di poket belakang.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek menarik kembali dompetnya dan berlaku pergelutan menyebabkan peragut berkenaan terjatuh sebelum orang ramai yang melihat kejadian datang untuk membantu.

“Orang ramai yang marah membelasah suspek menyebabkannya cedera di muka dan badan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Abdullah Arshad ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata suspek kini ditahan di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 10:24 AM