Gambar hiasan
Gambar hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan


TIGA kenderaan pacuan empat roda dilarikan lima lelaki di sebuah pusat pameran kereta di Sungai Jelok, Kajang pagi semalam.

Kumpulan lelaki terbabit memecah masuk premis berkenaan pada 4.08 pagi sebelum menyelongkar mencari kunci kenderaan itu dan membawa lari tiga buah Ford Ranger Raptor.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, ketika kejadian premis berkenaan dikawal oleh seorang pengawal keselamatan warga Pakistan berusia 47 tahun.

Menurutnya, suspek yang bersenjatakan parang bertindak mengikat pengawal keselamatan terbabit sebelum melarikan kenderaan itu.

“Nilai kerugian dalam kejadian berkenaan dianggarkan hampir RM600,000.

“Polis sedang mengesan kumpulan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

“Kita juga minta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Hafizah Abdul Latiff di talian 016-6060955,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 12:03 AM