BARANG yang dirampas polis ketika menahan dua lelaki dipercayai  peminjam wang haram atau along dalam Ops Valture di Genting Highlands. FOTO NSTP/ PDRM
BARANG yang dirampas polis ketika menahan dua lelaki dipercayai peminjam wang haram atau along dalam Ops Valture di Genting Highlands. FOTO NSTP/ PDRM
Shahrinnahar Latib


TINDAKAN dua lelaki dipercayai ceti haram atau along yang mengenakan 'bunga' sehingga 30 peratus kepada peminjam membawa padah apabila ditahan dalam Ops Valture di Genting Highlands, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, seorang daripada suspek berusia 38 tahun ditahan di sebuah hotel di pusat peranginan berkenaan pada 4.06 petang.

Menurutnya, suspek lain berusia 31 tahun pula ditahan di perkarangan Balai Polis Genting Highlands pada 11.45 malam tadi.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan oleh anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong berdasarkan maklumat.

“Penahanan mereka dilakukan selepas satu laporan polis oleh mangsa lelaki berusia 30 tahun yang diugut oleh suspek dengan memasukkan gambar di dalam laman sosial, awal bulan ini.

“Mangsa membuat pinjaman sebanyak RM30,000 dengan jumlah faedah 30 peratus untuk seminggu. Bagaimanapun, selepas hutang berkenaan dibayar, suspek masih lagi meminta wang daripada mangsa.

“Malah, gambar mangsa disebarkan dalam media sosial dengan dakwaan dia adalah seorang penipu dan berhutang dengan mereka,” katanya.

Katanya, suspek juga meminta mangsa membayar RM8,000 untuk memadam gambarnya yang disebarkan dalam media sosial.

“Namun selepas wang dimasukkan, semua gambarnya masih belum dipadam dan mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Genting Highlands,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Katanya, kedua-dua suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 6:53 PM