CHAN How tekad rampas kerusi DUN Tronoh.
CHAN How tekad rampas kerusi DUN Tronoh.
Farah Suhaidah Othman dan Balqis Jazimah Zahari


CALON paling muda Barisan Nasional (BN) Perak, Yuen Chan How, 29, tekad merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh daripada DAP.

Ketua Pemuda MCA Cawangan Menglembu itu yang juga muka baharu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkata, walaupun kali pertama menjadi calon, dia optimis pengundi Cina akan kembali menyokong MCA.

“Usia muda bukan halangan kerana saya sudah menjadi Ahli Majlis Daerah Batu Gajah selama empat tahun, jadi sudah mengenali dan membantu penduduk setempat menyelesaikan banyak masalah.

“Saya yakin pengundi kembali memberi sokongan kepada BN kerana selama dua penggal pembangkang menjadi wakil, mereka tidak membawa sebarang kemajuan kepada Parlimen Batu Gajah atau DUN Tronoh,” katanya di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata, dirinya juga akan berusaha menyediakan ruang terbaik bagi golongan belia menjana pendapatan.

“Kita akan mencari anak muda, seterusnya mencari sumber berkaitan usahawan yang disediakan kerajaan untuk membantu mereka.

“Saya sendiri dalam perancangan membina gerakan usahawan menggabungkan aspek budaya dan makanan jalanan untuk dikembangkan menerusi perniagaan dalam talian,” katanya

Beliau berkata, jika menjadi wakil rakyat, beliau akan berusaha membantu memperbaiki infrastruktur di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 9:09 PM