HM Digital

Bangi: “Saya muda dan energetik. Sampai sekarang saya belum rasa penat (berkempen).”

Menurut calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki, beliau kreatif dan pernah melakukan beberapa pengambaran dokumentari termasuk ‘Jatuh’ berkaitan kes Teoh Beng Hock berbanding calon MCA, Tan Chee Teong.

“Ini semua ciri-ciri mewakili harapan, bukan saja PH, tapi masa depan yang boleh diharapkan berbanding calon MCA.

“Saya rasa walaupun lebih muda, tapi pengalaman saya tidak kurang daripada dia sebab saya berpengalaman empat tahun di pusat khidmat dan kerap bersemuka rakyat dalam menyelesaikan masalah mereka.

“Jadi saya tidak rasa dia mempunyai kelebihan berbanding saya,” katanya yang menyertai politik pada 2014.

Siew Ki berkata demikian, mengulas kelebihan Chee Teong yang juga ahli perniagaan yang dikatakan berpengalaman luas dalam politik berbanding dirinya.

Sementara itu, katanya PH menyasarkan lebih 60 peratus pengundi keluar mengundi pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong biarpun sedar ia sukar dicapai memandangkan lebih ramai orang keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU).

“Sukar capai sasaran seperti PRU-14 kerana pada PRK, jumlah pengundi keluar mengundi kurang. Pada PRU-14, lebih 85 peratus pengundi keluar mengundi.

“Jadi saya minta semua penduduk keluar untuk mengundi.

“Saya tidak tetapkan sebarang sasaran (majoriti), janji menang. Kalau lebih 60 peratus, sangat baik,” katanya kepada media selepas melancarkan manifesto PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong, di sini, hari ini.

Kerusi DUN Balakong kosong berikutan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee dalam kemalangan pada 20 Julai lalu.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu Tien Chee mengekalkan kerusi Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon BN dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 11:21 AM