SULAIMAN menghadiri rumah Pengerusi MIC Melaka, VP Shanmugam di Batu Berendam, hari ini. FOTO Amir Mamat
SULAIMAN menghadiri rumah Pengerusi MIC Melaka, VP Shanmugam di Batu Berendam, hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Melaka: Meskipun tidak menyandang sebarang kerusi Parlimen di negeri ini, MIC Melaka tetap mahu memastikan jentera parti itu bekerja keras bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi MIC negeri, VP Shanmugam berkata, jentera parti itu di semua peringkat sudah diarah untuk bersama dengan jentera parti komponen BN yang lain untuk bergerak seiring melaksanakan tugas menjelang PRU-15, 19 November ini.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya sangat berpuas hati dengan komitmen jenteranya di semua peringkat selain yakin BN mampu menang di kerusi Parlimen yang disasarkan.

"Jentera MIC nampaknya begitu bersemangat untuk bekerja selain memperlihatkan kesungguhan mereka untuk memastikan semua calon BN menang pada PRU-15," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya sempena Deepavali di Batu Berendam, di sini hari ini.

Lebih 1,000 masyarakat pelbagai kaum hadir pada majlis rumah terbuka berkenaan.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Pengerusi BN negeri merangkap Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta beberapa pemimpin negeri.

Melaka mempunyai enam kerusi dan secara tradisinya, empat akan dicalonkan wakil Umno manakala dua lagi MCA.

Shanmugam yang juga Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, berkata beliau yakin semua calon yang ditampilkan MIC pada PRU-15 akan diterima pengundi kawasan masing-masing.

"Saya yakin mereka boleh diterima pengundi sekali gus menyumbang kepada pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan kelak," katanya.

Baru-baru ini, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, dilaporkan berkata parti itu akan menampilkan 70 peratus muka baharu pada PRU kali ini.

MIC juga dijangka bertanding di semua kerusi tradisinya, iaitu sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), manakala perbincangan masih dijalankan bagi kerusi tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 4:21 PM