LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai judi atas talian beroperasi di kedai telefon bimbit dan restoran, hari ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai judi atas talian beroperasi di kedai telefon bimbit dan restoran, hari ini.
Wartawan NSTP


TIDAK sampai dua jam portal berita Harian Metro mendedahkan mengenai sebuah kedai telefon bimbit dan restoran di Taman Permai 3, Seremban menawarkan aktiviti judi atas talian, premis itu diserbu sepasukan anggota polis, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, sepasukan anggotanya menjalankan pemerhatian pada 7 malam sebelum menahan dua pelanggan lelaki yang leka bertaruh aktiviti di sebuah restoran.

Katanya, penahanan itu membawa kepada tangkapan dua penjaga premis wanita yang bertindak memasukkan kredit kepada pelanggan.

“Keempat-empat suspek yang ditahan berusia 22 hingga 36 tahun.

“Selain itu polis turut merampas tiga telefon pintar, sebuah tablet dan wang tunai RM2,274,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Thiew berkata, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban, esok untuk permohonan reman.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Portal berita Harian Metro melaporkan biarpun enam bulan digempur habis-habisan, sindiket judi atas talian di daerah ini masih beroperasi dengan berselindung di sebalik kedai telefon bimbit dan restoran.

Premis itu dipercayai beroperasi pada awal tahun ini dan dibuka setiap hari bermula 12 tengah hari hingga 10 malam.

Kedua-dua premis terletak berdekatan hanya tiga meter dan dikunjungi pemandu teksi, buruh binaan, penduduk sekitar dan warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 12:15 AM