Hamidah berucap pada Majlis Peluncuran Loji Janakuasa Solar Hibrid Cypark oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Cypark Solar Merchang, hari ini. FOTO BERNAMA
Hamidah berucap pada Majlis Peluncuran Loji Janakuasa Solar Hibrid Cypark oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Cypark Solar Merchang, hari ini. FOTO BERNAMA
Nazdy Harun


Marang: Sejumlah RM2 bilion dilaburkan Cypark Resources Berhad (CRB) dalam membangunkan loji tenaga solar di negara ini yang mampu menjana 404 megawatt (MW) tenaga boleh baharu.

Pengurus Eksekutif Cypark Resources Berhad Datuk Hamidah Moris berkata, CRB berpengalaman selama 25 tahun dalam industri solar di negara ini.

Menurutnya, Cypark mempelopori industri solar Malaysia dengan 24 MW loji tenaga solar generasi pertama bermula pada 2012 di bekas tapak pelupusan sampah.

Katanya, Cypark bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bank-bank Malaysia untuk merancang infrastruktur tenaga dan pembiayaan yang sesuai untuk mengurus sumber tenaga boleh baharu yang dijana daripada tenaga suria.

"Cypark mempelopori industri Waste-to-Energy (WTE) pada tahun 2015 dengan merancang, melaksanakan, dan menjalankan pengumpulan sisa dengan bayaran tip, penjanaan tenaga daripada sisa untuk TNB.

"Cypark adalah satu-satunya pengendali loji WTE di Malaysia," katanya ketika berucap pada perasmian Cypark Solar Merchang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurutnya, RM2 bilion portfolio infrastruktur penjanaan tenaga dilaburkan dan kini mampu menjana 404 MW penjanaan tenaga boleh baharu.

Katanya, lebih 130 projek EPCC sudah dilaksana manakala loji WTE menggunakan 1,000 metrik tan (MT) sisa pepejal perbandaran dan mampu menjana 20 MW tenaga boleh baharu.

"Penggunaan inovasi tenaga boleh baharu ini menunjukkan CRB komitmen kepada penyahkarbon.

"Cypark adalah inovator dalam industri tenaga hijau di Malaysia serta merupakan syarikat Malaysia pertama dan satu-satunya yang merancang, membina dan menjalankan gabungan loji tenaga solar, WTE serta loji pengeluaran tenaga bio-gas dan bio-mass.

"Loji Merchang Cypark adalah loji janakuasa solar hibrid terbesar di Malaysia serta terdiri daripada 35 MW solar terapung dan 65 MW solar dipasang di darat," katanya.

Menurutnya,loji janakuasa solar hibrid ini merupakan bukti kemampuan Cypark untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran semula jadi Terengganu yang terdedah kepada banjir.

Katanya, loji Danau Tok Uban (DTU) yang dijadualkan beroperasi pada suku ketiga tahun ini akan menjadi loji solar terapung terbesar di Malaysia dengan kapasiti 60 MW.

"Dari segi pencapaian antara tahun 2013 hingga tahun lalu, Cypark mampu menjana sejumlah 692,191 MW tenaga boleh baharu.

"Manakala 447,612 tan pengelakan karbon dioksida, 85,0244 tan pengelakan arang batu manakala 1,000 ekar tapak pelupusan dipulihara untuk penjanaan tenaga bersih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 3:01 PM