POLIS memeriksa lokasi kejadian di Kampung Padang Ubi. FOTO Ahmad Mukhsein Mukhtar.
POLIS memeriksa lokasi kejadian di Kampung Padang Ubi. FOTO Ahmad Mukhsein Mukhtar.
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Penduduk Kampung Padang Ubi, di sini akan menjadikan kejadian dua beradik yang termakan keropok yang mengandungi racun tikus Ahad lalu, sebagai iktibar kepada mereka supaya lebih berhati-hati ketika memasang umpan bagi menangkap haiwan liar di kawasan itu.

Ini berikutan tindakan seorang pekebun meletakkan racun tikus dalam makanan ringan berupa keropok yang bertujuan mengusir monyet di kawasan berkenaan sebelum dimakan tetapi dimakan dua beradik terbabit.

Muhammad Akil Syauqi, 3, disahkan meninggal dunia awal hari ini di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, masih kritikal selepas tiga hari kejadian berlaku.

Penduduk kampung berkenaan, Hasma Mohamad, 57, berkata, kejadian tragis itu perlu menjadi pengajaran buat selama-lamanya kepada penduduk kampung atau di mana saja bagi mengelak kejadian sama berulang.

Beliau berkata, walaupun peningkatan jumlah haiwan liar yang menceroboh tanaman dan harta benda penduduk kampung adalah perkara yang serius namun tindakan memasang racun atau perangkap perlu dilakukan dengan berhati-hati selepas ini.

"Semua orang perlu mengambil pengajaran di atas tragedi ini sebagai peringatan untuk mengambil langkah berjaga-jaga apabila berhadapan dengan haiwan liar atau mengendalikan sebarang jenis racun," katanya ketika ditemui hari ini.

Hasma yang juga suri rumah berkata, penduduk kampung pernah mengadu berkaitan kehadiran monyet dan babi hutan yang menceroboh tanah ladang mereka kerana tidak dapat tahan dengan kelakuan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Kampung (MKK) Kampung Padang Ubi, Inche Borhan berkata, ancaman haiwan liar sudah pun dilaporkan kepada pihak berkuasa sejak lapan bulan lalu, namun mendakwa tiada tindakan diambil setakat ini.

Katanya, empat lagi kampung turut terjejas akibat ancaman itu antaranya Kampung Bikan, Kampung Patong, Kampung Petani, dan Kampung Bikan Atas.

"Kira-kira 5,000 orang terjejas dengan isu ini. Bagaimanapun, kejadian membabitkan dua beradik itu perlu ditangani demi keselamatan semua penduduk," katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Jamalul Nasir Ibrahim berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai gangguan monyet dan babi hutan di kawasan itu.

Beliau berkata, tindakan sudah pun diambil terhadap aduan di Labu Besar, menangani 18 aduan membabitkan monyet dan menghapuskan 52 monyet menggunakan perangkap dan kaedah pemusnahan.

Begitu juga, sembilan aduan mengenai babi hutan direkodkan, dengan sepuluh ekor babi dimusnahkan.

"Di Kampung Padang Ubi, Perhilitan turut mengendalikan satu aduan monyet pada Oktober 2021 dan satu aduan babi hutan pada Ogos 2022, mengakibatkan dua ekor babi hutan dimusnahkan," katanya.

Jamalul turut memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak mengambil tindakan bebas dalam menangani konflik hidupan liar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 2:52 PM