HANNAH Yeoh. FOTO Bernama
HANNAH Yeoh. FOTO Bernama
Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Pergolakan politik di Perancis dijamin tidak menjejaskan keselamatan atlet negara dan kesemua petugas kontinjen Malaysia sempena Olimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keselamatan atlet dan semua petugas di temasya sukan terbesar dunia itu sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bekerjasama rapat dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Keselamatan atlet dan kontinjen termasuk staf sokongan yang pergi (ke Paris), itu adalah keutamaan kepada kita.

"Kita akan menerima maklumat daripada MOM kerana mereka ada informasi daripada IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa).

"Kita kena tunggu (situasi)... kita ada buat persiapan tetapi setakat ini, memang kita difahamkan semuanya sudah diberikan taklimat (keselamatan)," katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama peserta Projek Reben Kuning 2024 di Penjara Wanita Kajang, di sini, hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, kontinjen negara sudah menerima jaminan keselamatan daripada pihak keselamatan Perancis.

Ketua kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin dilapor berkata, beliau mendapatkan jaminan bahawa pihak keselamatan negara itu akan bekerjasama dengan Malaysia bagi memastikan atlet serta pegawai berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 2:42 PM