Anwar Ibrahim (tengah) menaiki bas meninjau ladang solar pada Majlis Pelancaran Loji Janakuasa Solar Hibrid Cypark di Cypark Solar Merchang, di sini hari ini. Turut sama Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim (tengah) menaiki bas meninjau ladang solar pada Majlis Pelancaran Loji Janakuasa Solar Hibrid Cypark di Cypark Solar Merchang, di sini hari ini. Turut sama Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO BERNAMA
Nazdy Harun


Marang: Terengganu sasarkan pengeluaran kapasiti tenaga solar kepada satu GW dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu kini mengeluarkan sejumlah 1012 megawatt (MW) iaitu (1.012 GW) Penjanaan Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy generation) melalui beberapa medium.

Menurutnya, medium berkenaan meliputi solar 333.213 MW atau 0.33 GW, hidro 665 MW, mini hidro 8.7 MW dan biogas 6 MW.

Katanya, asas ini adalah bertepatan dengan perancangan kerajaan negeri dalam 'renewable energy'.

"Di mana potensi mini hidro power, inshore and offshore wind energy, ocean energy (menerusi tenaga janaan dari ombak) dan yang terkini ialah 'floating solar' di Kenyir berkapasiti 400 MW sebagai permulaan, fasa berikutnya sebanyak 600 MW, yang akan membawa kapasiti tenaga solar di Terengganu kepada satu GW dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Sasaran ini juga merangkumi, peningkatan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu, kepada sekurang-kurangnya 31 peratus daripada jumlah keseluruhan kapasiti penjanaan tenaga negara menjelang 2025, serta mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus berbanding KDNK pada tahun yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Perasmian Cypark Solar Merchang di sini, hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurutnya, majlis itu menandakan satu lagi langkah penting, dalam usaha untuk mencapai matlamat pembangunan lestari, melalui penggunaan tenaga boleh baharu atau 'renewable energy' berasaskan tenaga suria.

Katanya, pembinaan tenaga boleh baharu itu akan memberikan manfaat rantaian ekonomi kepada masyarakat setempat, melalui penciptaan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan, keperluan tenaga kerja, dengan menyediakan peluang latihan dan peningkatan kemahiran kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, Terengganu akan sentiasa mendukung dan menyokong usaha-usaha dalam bidang tenaga boleh baharu.

"Kami percaya, bahawa dengan adanya sokongan padu daripada kerajaan persekutuan, pihak swasta dan masyarakat setempat, kita mampu mencapai sasaran tenaga boleh baharu yang ditetapkan.

"Justeru, kerajaan negeri juga komited untuk memperkenalkan lebih banyak insentif dan dasar yang mesra alam bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor tenaga boleh baharu; sebagai salah satu kaedah untuk menjana pendapatan Negeri menerusi kerjasama equity dengan GLC dari Negeri Terengganu sendiri," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memastikan proses kelulusan dan pelaksanaan projek ini dipermudahkan di semua PBT dan agensi negeri terbabit serta menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong perkembangan teknologi hijau itu.

Katanya, dalam usaha mencapai matlamat itu juga, pihaknya memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dalam bidang tenaga boleh baharu.

Ahmad Samsuri berkata, ia termasuklah menyediakan program latihan dan pendidikan kepada generasi muda menerusi institusi teknikal di Negeri Terengganu seperti UCTATI, TESDEC dan sebagainya, supaya mereka dapat menguasai teknologi hijau dan mempunyai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Tambahnya, kerajaan negeri juga akan terus bekerjasama dengan institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi untuk menjalankan kajian dan inovasi dalam bidang tenaga boleh baharu.

"Dengan adanya penyelidikan yang berterusan, kita dapat memperbaiki teknologi sedia ada dan mencari penyelesaian baru yang lebih efisien dan berkesan dengan membawa hasil dari makmal ke medan penggunaannya iaitu istilah yang saya nak sebut 'From The Labs to The Real World'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 2:36 PM