SEBAHAGIAN daripada individu disyaki penagih yang ditahan di Kampung Baru, Sungai Tiang, Pendang. FOTO Ihsan PDRM
SEBAHAGIAN daripada individu disyaki penagih yang ditahan di Kampung Baru, Sungai Tiang, Pendang. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


SEKUMPULAN lelaki disyaki penagih dadah bertempiaran lari meninggalkan motosikal masing-masing selepas polis menyerbu ‘port’ mereka di Kampung Baru, Sungai Tiang, Pendang, hari ini.

Dalam serbuan antara 9 pagi hingga 12 tengah hari itu, polis berjaya menahan 26 penagih termasuk tiga warga asing.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim berkata, bertindak hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu kebun getah di kampung berkenaan.

Beliau berkata, kawasan berkenaan dikatakan menjadi tumpuan ‘mat gian’ dan ‘tokan’ dadah di sekitar Sungai Tiang kerana lokasinya yang agak jauh dari rumah penduduk.

"Daripada tiga warga asing yang ditahan, dua daripadanya, lelaki warga Bangladesh berusia 28 dan 37 tahun. Kedua-duanya yang memiliki pasport bagaimanapun disahkan positif dadah jenis morfin.

“Seorang lagi adalah warga Myanmar berusia 36 tahun dan memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR),” katanya kepada NSTP.

Fadzil berkata, siasatan mendapati lelaki Bangladesh itu menyewa di Kampung Sawa, Sungai Tiang.

“Lelaki Myanmar itu menetap di Pokok Sena dan datang ke ‘port’ itu untuk menagih dadah bersama lelaki tempatan,” katanya.

Beliau berkata, polis sebelum ini pernah menyerbu kawasan sama tetapi penagih tidak serik menjadikannya sebagai lokasi untuk mereka melepaskan gian.

“Warga asing itu disiasat oleh polis mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala 23 lelaki tempatan yang ditahan akan disiasat oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 10:29 PM