SEBAHAGIAN peserta dari Universiti al-Azhar menyertai Program Ziarah Anak Yatim di Rumah Penjagaan Anak Yatim Darus Sundus.
SEBAHAGIAN peserta dari Universiti al-Azhar menyertai Program Ziarah Anak Yatim di Rumah Penjagaan Anak Yatim Darus Sundus.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Tersentuh melihat kedaifan hidup anak yatim di Mesir, Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) mengambil inisiatif mengumpul dana bagi membeli kelengkapan persekolahan untuk menceriakan golongan kurang bernasib baik itu.

Pengerusi YDKMM Cawangan Mesir Muhammad Haziq Iqbal Azero berkata, walaupun anak yatim ditempatkan di dar (rumah anak yatim) manakala sebahagian lagi di bawah tanggungjawab penjaga, namun aspek kelengkapan persekolah kurang diberi perhatian.

“Ramai yang masih menggunakan alat tulis sudah terlalu uzur dan sudah lama tidak diganti, ada juga dalam kalangan mereka ini tidak mempunyai beg untuk ke sekolah.

“Berikutan itu, kami berpendapat menjadi satu kemestian untuk menyantuni anak yatim terbabit dalam aspek kelengkapan persekolahan, jika di Malaysia sumbangan seumpama ini tidak asing lagi dan sudah menjadi amalam,” katanya, ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, YDKMM disokong 200 penuntut dari lapan negara yang mengikuti pengajian di Universiti al-Azhar dan mereka kini sedang giat mengumpul dana sebanyak RM50,000 menerusi Kempen Ehna Ma’ak (Kami Bersamamu).

Muhammad Haziq berkata, kempen itu bermula Sabtu lalu dan pihaknya sudah menjalankan beberapa program mini antaranya Ziarah Anak Yatim di Darus Sundus bertujuan menyantuni anak yatim kurang upaya dan menyelami kehidupan mereka.

“Pada esok (hari ini) kami menganjurkan pertandingan bola jaring dan futsal membabitkan 30 pasukan. Setiap pasukan bukan saja berpeluang melakukan aktiviti sihat, sebaliknya menderma kerana yuran penyertaan LE100 Egyptian Pound (Genih) (RM22) akan disalurkan ke dana berkenaan.

“Kami juga bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan beroperasi di Mesir untuk menjayakan program ini,” katanya.

BANTUAN akan diserahkan pada minggu pertama April.
BANTUAN akan diserahkan pada minggu pertama April.

Menurutnya, jumlah kutipan terkumpul akan digunakan untuk membeli kelengkapan persekolahan seperti alat tulis, beg dan buku latihan sebelum diserahkan kepada golongan sasaran pada minggu pertama April, bersempena sambutan Hari Anak-Anak Yatim.

Beliau berkata, sama seperti di Malaysia soal kebajikan golongan kurang bernasib baik itu menarik perhatian pelbagai pihak, namun
di Mesir agak istimewa kerana mereka menyambut hari anak yatim pada minggu pertama April setiap tahun.

“Suasana sambutan meriah dengan setiap taman dipenuhi dengan anak yatim, orang ramai memberikan hadiah sebagai simbolik untuk meraikan serta menggembirakan mereka.

“Pada kemuncak kempen ini kami merancang menyerahkan kelengkapan persekolahan kepada 1,500 anak yatim dari enam daerah di Zagazig, timur Mesir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 4:46 AM