PESERTA program berjalan menuju Kampung Gamasa.
PESERTA program berjalan menuju Kampung Gamasa.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Operasi pembelajaran pusat tahfiz al-Quran dalam keadaan serba kekurangan diteruskan biarpun kerja pembinaan belum siap sepenuhnya.

Keadaan pusat tahfiz itu yang terletak di Kampung Salsul, Mansurah itu menyentuh hati ahli Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia cawangan Mesir (YDKMM Mesir) ketika lawatan ke pusat berkenaan, baru-baru ini.

Pusat tahfiz berkenaan milik keluarga penuntut Universiti al-Azhar Mesir, Eman Mohamad, 24.

Lawatan itu mencetuskan idea aktivis YDKMM Mesir untuk mengadakan program Bakti Tahfiz: Ziarah Anak Tahfiz Kampung di Kampung Gamasa iaitu sebuah perkampungan berhampiran Kampung Salsul.

Nor ‘Aini Ahmad Zohri berkata, program itu disertai 48 penuntut Universiti al-Azhar dan berjaya mengumpul sumbangan RM1,500 untuk diserahkan kepada pusat tahfiz terbabit.

Katanya, beberapa aktiviti lain dijalankan bersama pelajar tahfiz dengan peserta bagi mewujudkan hubungan mesra sesama mereka.

PELAJAR diuji hafalan al-Quran oleh peserta program.
PELAJAR diuji hafalan al-Quran oleh peserta program.

“Terdapat lebih 20 pelajar tahfiz pusat itu dan mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

“Di dalam kumpulan, pelajar tahfiz ini diuji hafazan selain disuruh membaca surah tertentu dalam juzuk ke-30,” katanya.

Katanya, beliau tertarik dengan teknik penghafalan al-Quran yang mana pelajar diajar membuat gaya dan gerak badan untuk mengingati ayat suci itu.

“Masyarakat Arab terutama Mesir mendedahkan anak kecil seawal usia empat tahun untuk menghafal al-Quran.

“Ini kerana al-Quran akan menjadi syafaat (pembantu dan penyelamat) kepada mereka yang dekat dengannya (selalu membaca dan mengamalkannya),” katanya.

Selain itu Noraini berkata, penganjuran program itu memberikan pengalaman tidak boleh dilupakan peserta kerana mereka berpeluang menyusuri Sungai Nil dengan menaiki bot.

Katanya, Sungai Nil mempunyai peranan sangat penting dalam peradaban, kehidupan dan sejarah bangsa Mesir sejak ribuan tahun lalu.

Pembabitan penuntut Universiti al-Azhar dalam program berkenaan adalah untuk memberi pendedahan kepada mereka dengan aktiviti kebajikan.

Selain dilihat boleh membentuk sifat kepimpinan dalam kalangan mereka.

“Ia sangat penting bagi mempersiapkan diri sebagai modal insan yang memenuhi pasaran kerja selepas menamatkan pengajian,” katanya.

BERSAMA kanak-kanak Kampung Gamasa.
BERSAMA kanak-kanak Kampung Gamasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 11:30 AM