Muhammad Zulkarnain diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Muhammad Zulkarnain diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret Ayer Keroh. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin

MAHKAMAH Majistret Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM5,000 terhadap seorang remaja lelaki yang didakwa memandu kereta secara berbahaya dengan melawan arus, melanggar lampu isyarat dan merempuh sebuah kenderaan, awal bulan ini.

Majistret Analia Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Muhammad Zulkarnain Zahlan, 19, dari Durian Tunggal sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh turut diperintah membayar kos pendakwaan RM500, pembatalan lesen percubaan P serta hilang kelayakan mengambil lesen kelas D selama dua tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta dengan cara berbahaya hingga membahayakan pengguna lain di kawasan rehat Gerbang Lebuh Ayer Keroh, jam 1.25 pagi, pada 18 Mac lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 1999, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Trafik Inspektor Nazif Ezra Abdul Rahman ketika pendakwaan memberitahu pemeriksaan ke atas kenderaan tertuduh tidak menemui sebarang barang larangan, malah tertuduh juga tidak mempunyai rekod jenayah.

Hujah dikemukakan Nazif Ezra membuatkan Analia bertanyakan kepada tertuduh mengapa terlalu takut sehingga melarikan diri jika tidak melakukan kesalahan, tertuduh menjawab takut kerana ketika melarikan diri, dia sudah melanggar kereta peronda polis.

Nazif Ezra kemudian memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal.

Bagaimanapun, tertuduh merayu hukuman penjara diringankan dengan alasan masih bekerja sebagai operator pengeluaran.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan bermula hari ini dan denda RM5,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama pasangan wanitanya berhenti di kawasan berkenaan dalam keadaan lampu kenderaan terpadam serta mencurigakan kira-kira jam 1.20 pagi, 18 Mac 2018.

Polis peronda kemudian menghampiri kereta dan mengetuk cermin, namun secara tiba-tiba kenderaan itu dipecut laju melalui Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) hingga ke Taman Melaka Raya, sejauh kira-kira 20 kilometer.

Tertuduh didakwa enggan memberi kerjasama dengan memandu secara berbahaya melawan arus di tiga lokasi iaitu Jalan Kota Fesyen, bulatan di Taman Tasik Utama dan Lebuh SPA, selain melanggar lampu isyarat serta merempuh sebuah kereta di Jalan 21 Taman Melaka Raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 6:02 PM