Nilai: Seorang pemilik sebuah pasar raya di Nilai 3, di sini, ‘berputih mata’ apabila wang tunai lebih RM20,000 milik syarikat dilarikan empat lelaki bersenjatakan parang, kelmarin.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 11.30 pagi, mangsa berusia 24 tahun bersama isterinya yang menaiki kereta berhenti di depan pasar raya sebelum dihimpit sebuah kereta mewah.

Menurutnya, sebelum itu mangsa dikatakan singgah di bank berhampiran untuk mengeluarkan wang lebih RM20,000 sebelum meneruskan perjalanan ke pasar raya.

“Bagaimanapun, mangsa dipercayai diekori kereta mewah dinaiki empat lelaki berusia 30-an. Sebaik tiba di pasar raya, tiga daripada suspek keluar membawa parang.

“Mereka memecahkan cermin pemandu dan penumpang hadapan lalu mengambil beg berisi wang, beg tangan isteri mangsa, telefon bimbit dan beberapa dokumen peribadi mangsa,” katanya.

Sumber berkata, mangsa tidak dapat melawan kerana bimbang dicederakan dan semua suspek melarikan diri dengan menaiki kenderaan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:48 AM