POLIS Sentul berjaya menumpaskan satu geng samun bersenjata dengan penahahan lima suspek dalam dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada bulan lalu. FOTO IHSAN POLIS
POLIS Sentul berjaya menumpaskan satu geng samun bersenjata dengan penahahan lima suspek dalam dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada bulan lalu. FOTO IHSAN POLIS
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis berjaya menumpaskan satu geng samun bersenjata hasil penahanan lima suspek dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang pada bulan lalu.

Difahamkan, kesemua lelaki berusia 28 hingga 42 tahun itu bergiat aktif dalam jenayah berkenaan di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan kejadian samun berkumpulan menggunakan senjata di sebuah stesen minyak, Jalan Kampung Batu di sini, 19 Disember lalu.

"Dalam kejadian 12.30 tengah hari, mangsa sedang mengisi petrol didatangi seorang suspek yang mengacukan sebilah parang dan cuba meragut rantai emas mangsa.

"Mangsa yang terkejut melarikan diri menyebabkan suspek gagal menarik rantai emas itu. Suspek bagaimanapun melarikan dompet milik mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bertindak atas laporan itu, siasatan dijalankan mendapati jenayah itu dilakukan sekumpulan suspek menaiki kereta Proton Wira.

"Hasil risikan, polis berjaya menahan lima suspek dalam dua serbuan berasingan pada 21 dan 28 Disember lalu. Polis juga berjaya merampas dua parang, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, dompet milik mangsa, pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk mencuri kenderaan, beberapa dokumen dan sebuah kereta.

"Hasil siasatan awal mendapati modus operandi suspek adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan menggunakan senjata dan mensasarkan mangsa menaiki kereta mewah serta memakai barangan kemas yang sedang mengisi petrol," katanya.

Beh berkata, kesemua suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau sudah direman untuk siasatan lanjut dan kini diserah kepada IPD Sungai Buloh untuk siasatan pihak terbabit.

Katanya, penahanan suspek itu membolehkan polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun di Kuala Lumpur dan dua kes di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 8:45 PM