TEE Ker Yin ceria menunjukkan slip keputusan SPM miliknya. FOTO Bernama
TEE Ker Yin ceria menunjukkan slip keputusan SPM miliknya. FOTO Bernama
BERNAMA

MENGULANG kaji pelajaran sambil mendengar muzik terutamanya K-Pop membantu Tee Ker Yin, 18, untuk lebih fokus mengulang kaji sehingga mencatat keputusan cemerlang 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent di Melaka berkata, beliau memperuntukkan antara dua hingga tiga jam sehari untuk menelaah buku serta nota pembelajarannya.

"Saya mendengar muzik daripada artis K-Pop terutamanya yang saya minati iaitu Super Junior sambil membuat latih tubi, selain itu saya menumpukan sepenuh perhatian ketika guru mengajar di dalam kelas.

"Saya juga membahagikan masa antara pelajaran dengan aktiviti luar seperti kelas renang dan menjalani latihan taekwondo bagi meningkatkan tahap kecergasan badan serta kecerdasan minda," katanya kepada pemberita di sekolah itu, hari ini.

Tee yang ditemani ibu bapanya, Tee Min Hoe, 47, dan Pang Mei Chen, 43, sedang mengikuti kursus A-Level di kolej swasta dan merancang untuk melanjutkan pengajiannya di United Kingdom dalam jurusan sains.

Seorang lagi pelajar cemerlang sekolah itu, K Bhavini yang memperoleh 10A+ berkata, beliau sering membuat latih tubi soalan peperiksaan SPM tahun lepas dan soalan ramalan.

"Selain itu, saya juga memperuntukkan masa untuk mengulang kaji pelajaran kira-kira empat jam sehari selain menghadiri tuisyen… syukurlah kerana guru sangat 'supportive' apabila tanpa jemu menyokong usaha saya dan rakan-rakan sehingga memperoleh kejayaan," kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

“Saya bercadang untuk mengikut jejak abang yang mengambil jurusan akaun di universiti di luar negara," katanya yang hadir ditemani bapanya Perunding Insurans, Kitan Manilal Timbadia, 48 dan ibunya Neeta Timbadia, 46.

Sementara itu, Pengetua SMK Infant Jesus Convent Chong Chew Yoong amat bangga dengan kejayaan pelajar sekolahnya yang mencatatkan jumlah paling ramai mendapat keputusan semua A di Melaka.

"Kita memang tak jangka keputusan ini kerana keputusan sebelum ini hanya 24 orang yang mendapat straight A namun melonjak kepada 36 orang tahun ini berkat usaha gigih dan kerjasama antara pelajar dan guru,” katanya.

Berita berkaitan:

Tahniah semua calon SPM! [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 10:29 PM