YANG Dipertua MPSM Cawangan Kuala Terengganu, Khairi Mohd Noor.
YANG Dipertua MPSM Cawangan Kuala Terengganu, Khairi Mohd Noor.
Malik Muhamad


MAJLIS Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Cawangan Kuala Terengganu menyifatkan langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunda dan membatalkan peperiksaan awam sebagai keputusan tepat dan bijak ketika negara berdepan wabak Covid-19.

Yang Dipertuanya, Khairi Mohd Noor berkata, pengumuman itu ternyata memberi peluang dan keadilan kepada pelajar dan guru kerana mereka mempunyai masa mencukupi untuk menghabiskan sukatan dan mengulang kaji pelajaran bagi peperiksaan ditunda.

Beliau yang juga Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Razali Ismail (SMKDRI) Kuala Terengganu berkata, keputusan itu memperlihatkan KPM memberi keutamaan mengenai keselamatan dan kesihatan pelajar serta seluruh warga pendidik bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Kami menyokong penuh pengumuman KPM berkaitan pelan tindakan persekolahan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menunda tarikh peperiksaan itu kerana secara tidak langsung ia memberi peluang sama rata kepada pelajar selain mereka mempunyai masa mencukupi untuk menelaah pelajaran secara kendiri atau bersama guru.

“Bagi guru pula, mereka mempunyai masa cukup untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan pada masa sama membantu pelajarnya membuat latih tubi berkaitan mata pelajaran, selain sudah pasti melegakan ibu bapa,” katanya.

Mengenai langkah mengumumkan dua minggu lebih awal sebelum sekolah dibuka, Khairi berkata, ia bertepatan bagi mempersiapkan pelajar dalam keadaan ceria dan selesa ke sekolah.

Beliau berkata, tempoh itu bagi memastikan persiapan rapi termasuk kawasan persekitaran dan kelas berada dalam keadaan bersih serta selamat termasuk menitikberatkan aspek penjarakan sosial, menjaga kebersihan, tidak mengadakan perhimpunan dan mengehadkan aktiviti kokurikulum.

“Buat masa ini, semua sekolah mengadakan kelas secara dalam talian dengan jadual pembelajaran disediakan pihak sekolah, selain menggunakan pelantar pembelajaran disediakan KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

“Aplikasi WhatsApp adalah medium paling digemari pelajar kerana mudah diakses menggunakan telefon dan kelas diadakan melalui kaedah berkenaan yang dipantau ibu bapa mereka di rumah.

“Cadangan KPM supaya pelajar Tingkatan 5 dan 6 Atas memulakan dahulu sesi persekolahan cukup sesuai, namun pihak sekolah perlu mengambil langkah mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) KPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 3:29 PM