NORLIZA mengadakan pertemuan bersama wakil Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan pengurusan sekolah hari ini. FOTO Ihsan YB Norliza.
NORLIZA mengadakan pertemuan bersama wakil Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan pengurusan sekolah hari ini. FOTO Ihsan YB Norliza.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Penganjuran Bengkel Pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Infant Convent Jesus, di sini, baru-baru ini tidak membabitkan unsur pengabaian atau mendiskriminasi agama serta bangsa pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Johor, Norliza Noh berkata, pihaknya mengenalpasti perkara berkenaan menerusi maklumat diberikan pihak sekolah.

"(Jadi) Saya menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan pendapat sendiri di media sosial.

"Perkara berkenaan boleh menimbulkan suasana yang tidak harmoni terutama kepada negeri Johor," katanya menerusi perkongsian di Facebook (FB) beliau hari ini.

Norliza berkata, pihaknya menjunjung kasih titah Sultan Johor agar tiada individu yang disisihkan daripada mana-mana program atas sebab agama dan bangsanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk menjadikan sekolah sebagai medan untuk menyemai semangat perpaduan dan menolak sebarang program atau aktiviti yang boleh membawa kepada diskriminasi kaum dan agama.

"Identiti bangsa Johor itu sendiri cukup sinonim sebagai pemangkin semangat untuk membentuk keharmonian, persefahaman dan toleransi antara pelbagai kaum dan agama di negeri ini," katanya.

Terdahulu, Norliza mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Jabatan Pendidikan Daerah Johor Bahru, pengurusan SMK Convent Infant Jesus Johor Bahru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Convent Infant Jesus Johor Bahru.

Ia bertujuan mendengar sendiri isu berkaitan Program Bengkel Pendidikan SPM SMK Infant Convent Jesus yang dijalankan dengan pembabitan pelajar Muslim sahaja di sekolah terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 8:30 PM